Malaysia Dateline

Bahana Covid-19: Orang ramai serbu pasaraya beli banyak barangan

Orang ramai dilihat mulai membanjiri pasaraya dan kedai runcit ekoran bimbang dengan trend pertambahan mendadak kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Malaysia Dateline di sekitar Seksyen 4 Kota Damansara jam 8 malam tadi mendapati pasaraya Speedmart antara menjadi tumpuan dengan deretan panjang di kaunter pembayaran.

Walaupun dalam pertengahan bulan dengan majoriti pekerja belum mendapat gaji lagi tetapi orang ramai dilihat membeli dalam kuantiti lebih banyak berbanding hari-hari biasa.

Rata-rata pengguna membeli beras, minyak masak, makanan tin serta bahan makanan dan barangan keperluan bayi.

Bahan keperluan tertentu seperti minyak masak dalam bentuk paket dilihat sudah kehabisan tiada walaupun sebungkus setakat jam 8 malam tadi.

Seorang juruwang memberitahu orang mulai ‘gila’ membeli segala jenis bahan makanan dan keperluan bayi sejak pagi lagi.

Salah seorang pembeli yang hanya mahu dikenali sebagai Fauziah, 35, memberitahu beliau dan suaminya terpaksa segera membeli tiga susu bayi dalam tin dan lima lampin pakai buang sebelum kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung.

Kedai barangan basah di Kota Damansara juga diserbu ramai pembeli malam tadi.