Gara-gara tindakan suami yang bertindak melafazkan taklik secara melulu, seorang wanita mula merasa sangsi dengan status perkahwinannya selama ini.
Lebih memburukkan keadaan, nasab dua anak mereka juga agak meragukan kerana dikhuatiri suami telah melanggar taklik sebelum adanya janin di dalam kandungan.
Bukan cerita rekaan, kejadian itu benar-benar terjadi pada seorang wanita bergelar ‘influencer’ atau pempengaruh media sosial yang dikenali ramai sebagai Hajar Hanif.
Dakwa Hajar, suaminya iaitu Mikhail Issaq pernah kantoi curang di awal perkahwinan lalu bertindak melafazkan taklik tidak akan mengulanginya demi memujuk sang isteri.
“Saya tertaklik dari tahun 2017 oleh si dia. Kalau dia berkelakuan curang, bernafsu, ada perasaan suka (pada wanita lain) atau seumpamanya, maka jatuhlah talak tiga.
“Setelah hampir tujuh tahun kami bersama, baru beberapa hari lepas saya mendapat tahu bahawa dia sudah berlaku curang (lagi) cukup lama,” ceritanya di akaun TikTok.
Sehubungan dengan itu, Hajar memuat naik video di TikTok merayu kepada mana-mana wanita yang pernah menjalinkan hubungan dengan Mikhail supaya tampil.
Hal ini berikutan Hajar mahu memastikan tempoh sebenar pelanggaran taklik Mikhail supaya tiada lagi keraguan terutamanya mengenai nasab dua cahaya mata mereka.
“Sekarang ini saya ada dua orang anak dengan dia. Video itu saya tularkan supaya sesiapa yang pernah kena (ada hubungan) dengan dia, tolonglah datang cari saya.
“Cerita semua benda, tolonglah. Sebab sekarang ini saya tengah risau nasab anak pertama pula. Selama tujuh tahun ini, tiada seorang pun yang berani beritahu saya.
“Saya betul-betul perlukan bantuan anda untuk nasab anak. Saya kenal si dia ini tersangatlah kejam dan berani main dengan hukum hakam Allah SWT,” katanya.
Mengulas lanjut, Hajar kini sedang mengumpul bukti kukuh untuk membawa masalah ini ke muka pengadilan memandangkan suaminya boleh menipu jika disoal hakim.
Jelas wanita itu lagi, pihak mahkamah berkemungkinan tidak boleh melakukan apa-apa sekiranya dirinya tidak mempunyai sebarang bukti berhubung kecurangan tersebut.