Bahana lupa matikan ‘charger’, bayi 8 bulan maut lepas kunyah wayar pengecas 

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang bayi berusia lapan bulan dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik selepas mengunyah pin wayar pengecas.

Ketika kejadian ngeri tersebut berlaku, pengecas telefon mudah alih itu masih disambungkan pada soket dan suisnya juga tidak dimatikan.

Masih mempunyai aliran elektrik, bayi tersebut mulanya hanya bermain dengan pengecas itu sebelum mengunyah hujung wayar di bahagian pin.

Terkena renjatan elektrik, ahli keluarga segera bertindak dengan mengejarkan bayi berkenaan ke hospital daerah dalam usaha menyelamatkannya.

Malangnya, pakar perubatan mengishtiharkan bayi tersebut telah meninggal dunia sebelum sempat menerima sebarang rawatan.

Bapa mangsa, Santhosh Kalgutak yang berkerja di Syarikat Bekalan Elektrik Hubballi (Hescom) difahamkan sedang bertugas ketika kejadian berlaku.

Sejurus selepas kejadian menyayat hati itu dimaklumkan kepadanya, Santhosh dilaporkan terperanjat lalu rebah di tempat kerja.

Menyedihkan, insan bergelar bapa itu segera dimasukkan ke hospital manakala jasad anaknya yang tidak bernyawa pula dipindahkan ke bilik mayat.

Memetik laporan Gulf News, insiden itu berlaku di kampung Siddarada, Karwar taluk di daerah Uttara Kannada di Karnataka, India pada Rabu lalu.

Bayi yang dikenali sebagai Sanidhya itu merupakan anak ketiga kepada Santhosh.

Susulan kematian Sanidhya, pihak polis terus mendaftarkan kes dengan tujuan untuk menjalankan siasatan lanjut.

Baca juga: Anak baru lahir keluar haid? Jangan panik, ini 6 perkara pelik yang akan dialami bayi