Seorang wanita berdepan dengan detik cemas apabila keluarganya tiba-tiba jatuh sakit selepas memakan hidangan cendawan liar yang dimasaknya.
Dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulan, rupa-rupanya keluarga wanita yang dikenali sebagai @mas.ita itu termakan cendawan beracun.
Kejadian mencemaskan itu bermula apabila suaminya membawa pulang kira-kira 10 kaki cendawan liar yang dipetik di tepi rumah mereka.
Sekian lama tidak ‘merasa’ cendawan, Ita tetap meneruskan hasrat untuk memasak tumbuhan liar itu walaupun sudah timbul perasaan ragu-ragu.
Kelihatan seperti cendawan busut, kulat liar yang dibersihkan Ita itu memiliki selaput berbentuk cincin di batang dan teksturnya pula gebu seperti pau.
Menurut Ita, bahagian bawah topi tumbuhan itu berwarna hijau dan ia mengeluarkan debu-debu spora (habuk halus) ketika dibersihkan.
Malahan, tiada seekor serangga pun yang dijumpai setelah Ita selesai ‘menyiang’ kulat beracun jenis Chlorophyllum Molybdites itu.
Sempat merakam video ketika memasak, kuah didihan cendawan yang dimasak Ita itu kelihatan berubah dari warna jenih menjadi hijau pucat.
Mempunyai rasa yang enak tak ubah seperti cendawan busut, Ita menghidangkan masakannya itu sebagai makanan tengah hari buat keluarga.
“Selepas makan tengah hari, kami sakit. Tak sempat periksa Google, rupa-rupanya memang betul sah cendawan itu tidak boleh dimakan, beracun!
“Suami terus suruh buang cendawan itu sebelum anak-anak kami yang lain makan. Saya panik, suami dah lemah longlai, tak boleh pandu kereta.
“Jadi saya telefon 999 (talian kecemasan),” kata Ita menceritakan semula kejadian itu menerusi satu hantaran video di akaun TikTok miliknya.
Ita dan seorang anaknya mengalami sakit yang tidak begitu serius berikutan hidangan itu dimakan dalam kuantiti yang sedikit.
Berlainan pula dengan kes suaminya yang muntah-muntah dan lemah longlai sehingga hampir pengsan kerana makan terlalu banyak.
Niatnya berkongsi video tersebut dengan harapan dapat menimbulkan kesedaran agar orang ramai berhati-hati sebelum makan tumbuhan liar.
Baca juga: Suami larang vaksin, ibu pilu dubur bayi melecet selepas cirit-birit akibat Rotavirus