Saluran gas Petronas terbakar, penduduk lari turun pinggir sungai – “Bahang panas sangat”

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman di platform media sosial memaparkan beberapa individu sedang berada di pinggir sungai sambil melambaikan tangan mereka ke arah lensa kamera.

Rupa-rupanya, individu di dalam video berkenaan adalah penduduk di Kampung Tengah, Putra Heights, Puchong, Selangor iaitu lokasi insiden kebakaran besar melibatkan paip gas PETRONAS berlaku.

Malah di dalam video berdurasi 15 saat itu, dapat dilihat api marak sudah menjulang tinggi berhampiran dengan kawasan pinggir sungai yang menjadi lokasi beberapa penduduk melarikan diri.

Difahamkan, penduduk berkenaan membuat keputusan untuk menyelamatkan diri mereka dengan masuk ke dalam sungai akibat bahang api yang tersangat panas susulan kebakaran di Jalan Putra Harmoni itu berlaku.

“Penduduk lari turun ke pinggir sungai melambai mohon dibantu. Saluran gas meletup dekat Kampung Tengah, Puchong. Bahang api amat panas,” tulis keterangan di dalam video tersebut.

Rakaman tersebut dimuat naik di platform TikTok dan setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu sudah berjaya meraih tontonan daripada 1.3 juta pengguna dan 26,900 tanda suka.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati beberapa pengguna TikTok dipercayai penduduk di kawasan tersebut tampil menceritakan pengalaman mereka ketika insiden tersebut berlaku.

Malah seorang individu dipercayai ahli keluarga kepada penduduk yang berlindung di kawasan pinggir sungai itu turut meninggalkan komen memaklumkan bahawa mereka berada di dalam keadaan selamat.

“Keluarga saya yang berada di sungai itu. Mak saya, adik-adik saya. Alhamdulillah keluarga saya sudah selamat,” kata pengguna terbabit berkongsikan perkembangan mengenai keadaan mangsa.

“Saya berlari sambil memeluk tiga kucing. Alhamdulillah selamat,” kongsi pengguna lain dipercayai penduduk di kawasan terjejas yang sempat menyelamatkan haiwan peliharaannya ketika melarikan diri.

Terdahulu, kebakaran saluran paip gas yang berlaku pada waktu pagi semalam itu berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 3.45 petang, hari yang sama dengan penglibatan 325 anggota serta pegawai daripada 11 agensi dalam operasi pemadaman dan menyelamat.

Baca juga: Insiden bencana kebakaran saluran gas Petronas – Siasatan terperinci diperlukan, MAPIM zahirkan takziah kepada mangsa dan sudi membantu