Pakar linguistik dan cendekiawan dalam dunia kesusasteraan Arab boleh memainkan peranan penting dalam membetulkan tanggapan salah tentang Islam, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Beliau berkata golongan ini boleh mengubah persepsi masyarakat dunia dengan menyebarkan kesedaran tentang ajaran Islam yang tulen di sebalik penyebaran ideologi radikal dan ekstremis.
Bahasa Arab merupakan bahasa yang diiktiraf penggunaannya oleh Allah SWT melalui penurunan al-Quran dan mereka yang memahami dan bertutur dalam bahasa itu mampu memahami maksud Islam yang sebenar, katanya.
“Anda berada dalam kedudukan terbaik untuk mengubah persepsi masyarakat dunia tentang ajaran Islam dengan menyebarkan mesej keamanan, kesederhanaan dan keadilan di negara masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan edisi kelima Persidangan Antarabangsa Bahasa Arab dan Kesusasteraan 2015 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.
Justeru, beliau menggesa tokoh akademik dan cendekiawan dari dunia Islam supaya meningkatkan pengajian dan penyelidikan mengenai kesusasteraan dan bahasa Arab bagi terus menyebarkan konsep dan kekuataan wasatiyyah (kesederhanaan) yang terbukti dapat menyelesaikan konflik dunia.
Persidangan tiga hari itu disertai 100 pensyarah dan pelajar dari dunia Islam termasuk 50 peserta Malaysia.
Antara topik perbincangan ialah pengajian bidang kesusasteraan Arab dalam sejarah Islam, ciri-ciri bahasa Arab, syair dan puisi moden.