Malaysia Dateline

Bahasa Inggeris penting tetapi bukan ukuran kompetensi, kebijaksanaan pemimpin

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadil berkata, penguasaan Bahasa Inggeris penting sebagai medium komunikasi antarabangsa, namun ia bukanlah ukuran kompetensi dan kebijaksanaan seorang pemimpin.

“Ramai juga pemimpin utama negara lain yang masih mengekalkan bahasa ibunda masing-masing di dalam dialog atau persidangan antarabangsa.

“Keberanian YB Mohamad Sabu untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris di dalam sesi penting seperti dialog antarabangsa berkenaan isu keselamatan hendaklah dilihat dari sudut positif bahawa Malaysia mempunyai pendirian tegas memerangi ancaman keganasan atau terrorism,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dibuat Tindakan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menempelak Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkenaan penguasaan Bahasa Inggeris dalam 18th IISS Asia Security Summit shangri-La Dialogue (SLD) di Singapura.

Petikan video ucapan Mohamad juga  turut mendapat kritikan netizen di media sosial.

Kata Faiz lagi,rakyat perlu menilai intipati asas ucapan Mohamad yang juga Presiden AMANAH itu bukannya kekhilafan yang langsung tidak mencacatkan substance ucapan seorang menteri pertahanan.

“Jika didengar semula ucapan YB Mohamad Sabu, beliau merujuk Perdana Menteri New Zealand sebagai ‘she’, namun di penghujung ayat menggunakan perkataan ‘him’ yang tidak mengubah intipati ucapan beliau yang tahu bahawa Perdana Menteri New Zealand adalah seorang wanita.

“Di samping itu, penggunaan perkataan ‘mother’ and ‘father’ adalah merujuk kepada penaja pengganas yang merupakan terma biasa digunakan dalam counter-terrorism. Perkataan tersebut tidak seharusnya diterjemah secara literal,” terangnya.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu berkata, Ahli Parlimen Air Hitam itu membuat kenyataan sedemikian bagi cubaan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap skandal korupsi beberapa pemimpin kleptokrat Barisan Nasional (BN) yang kini sedang berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah.

“Skandal mega ini menyebabkan negara hari ini berhutang lebih RM1 trillion dan kerajaan Pakatan Harapan adalah dalam usaha mengurangkan hutang negara kepada 54 peratus bagi memulihkan ekonomi negara dan seterusnya mengurangkan beban kos sara hidup.

“Jangan kita lupa kepada ucapan Peguam Negara Amerika Syarikat Jeff Sessions “1MDB scandal is kleptocracy at its worst’ yang menjadi mimpi ngeri kepada pemimpin Barisan Nasional yang sedang dibongkarkan pihak berkuasa,” ujarnya lagi.

Semalam dalam satu kenyataan oleh  Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar  dipetik  berkata istilah “father and mother” itu merupakan terma yang biasa digunakan dalam Counter-Terrorisme.

 Katanya sebagai seorang menteri pertahananan Mohama mengunakan  rujukan anekdot apabila dia menyebut tentang “father and mother” kepada organisasi pengganas, ia merujuk kepada unsur penaja pengganas.