Bahasa Mandarin: Tidak harus dipertahankan, diluar konteks Malaysia Baharu, kata Pemuda AMANAH

Bahasa Mandarin: Tidak harus dipertahankan, diluar konteks Malaysia Baharu, kata Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH Nasional mengharapkan agar seluruh pimpinan dan parti pemerintah mendukung komitmen untuk membina Malaysia Baru yang benar-benar baharu.

Ketua Pemudanya Mohd Sanhy Hamzan melahirkan rasa kesal terhadap polemik yang sedang berlaku melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan penggunaan bahasa Mandarin sebagai pilihan di kementerian tersebut.

Beliau menegaskan,  mana-mana kementerian hanya perlu mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mereka di dalam Bahasa Melayu sahaja seperti yang dipraktikkan sebelum ini.

“Ini kerana ia mewakili keseluruhan kaum di dalam negara ini. Ia sewajarnya menjadi ketetapan dan prosedur yang perlu dipatuhi oleh semua pihak terutama kementerian dan agensi yang bernaung di bawah kerajaan.

“Keralatan yang berlaku tidak sewajarnya dipertahankan oleh mana-mana pihak kerana ia tidak membawa semangat yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan dalam membawa Malaysia Baru.

“Pemuda AMANAH Nasional mengharapkan agar seluruh pimpinan dan parti pemerintah mendukung komitmen untuk membina Malaysia Baru yang benar-benar baharu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sany yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer berkata, selepas pilihan raya umum ke-14, satu perubahan besar dituntut oleh rakyat terhadap pemerintahan negara har ini yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Perubahan itu ujarnya lagim bukan sekadar berkisarkan tentang perubahan tampuk pemerintahan semata-mata, tetapi tajdid atau pembaharuan dasar negara selari dengan negara pelbagai kaum dan agama di negara ini perlu diambil perhatian oleh pemimpin.

“Sentimen perkauman yang sering dicandukan oleh pemerintahan lalu tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat dan ia dizahirkan melalui keputusan pilihan raya umum lalu yang mana rakyat tanpa mengira ras kaum dan agama melakukan sejarah menjatuhkan kerajaan yang telah berkuasa puluhan tahun.

“Ini kerana rakyat sangat yakin dengan pembaharuan yang mahu dilakukan oleh Pakatan Harapan dengan berpaksikan semangat perpaduan dengan menentang fahaman perkauman yang dimainkan oleh Barisan Nasional selama ini.

“Pakatan Harapan di dalam manifestonya bertekad untuk membina satu Bangsa Malaysia yang berasaskan semangat, amanah dan solidariti.

“Pakatan Harapan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan; Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmonis di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang sejajar dengan Perkara 153 serta komited mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan.

“Di dalam Buku Harapan itu juga, Pakatan Harapan menegaskan untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau. Penegasan itu adalah bukti komitmen Kerajaan Persekutuan yang baharu ini untuk mengangkat semangat perpaduan dan mengiktiraf keagungan Bahasa Melayu di dalam negara ini.

“Bahasa Melayu adalah bahasa mewakili seluruh rakyat Malaysia, ia menjadi bahasa rasmi digunapakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan termasuklah kenyataan-kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan. Dengan semangat Malaysia Baru yang mahu diaplikasikan oleh kerajaan era baru ketika ini, sewajarnya martabat Bahasa Melayu itu diperkasakan penggunaannya,’ ujarnya.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote