Malaysia Dateline

Bahasa Melayu: Ilmu apa boleh ditimba, selain agama?

Agak sukar untuk sesebuah masyarakat mengerti bahawa paksaan sebenarnya tidak membawa hasil sebagaimana yang dihasratkan, khususnya dalam bidang budaya dan bahasa.

Pernahkah soalan ini terlintas dalam otak anda – Mengapa “tarian singa” Malaysia mampu menjuarai pertandingan di peringkat antarabangsa untuk sekian lama?

Apa hebatnya Cina Malaysia dalam acara “tarian singa”, berbanding Cina di China, Taiwan dan Hong Kong –yang mana majoriti masyarakat mereka terdiri daripada etnik Cina?

Pelik, bukan? Ia perlu diimbas kembali sehingga tahun 1979, di mana Menteri Dalam Negeri ketika itu, Muhammad Ghazali bin Shafie cuba mengenakan sekatan terhadap “tarian singa”, malah mencadangkan agar singa digantikan dengan “harimau”, supaya disesuaikan dengan unsur tempatan.

Cadangan Ghazali mencungkil kebimbangan komuniti Cina Malaysia bahawa warisan budaya ini akan pupus pada masa depan.

Tanpa diduga, kenyataan Ghazali menjana momentum yang “luar biasa” dalam kalangan Cina Malaysia untuk memperkembangkan “tarian singa”, sebagai reaksi tentangan terhadapnya.

Sebaliknya, “tarian singa” yang tidak berdepan dengan sebarang halangan di China, diamalkan seperti biasa, tanpa “semangat berkobar-kobar” untuk mempertahankan seni budaya ini. Ia menjelaskan kesudahan yang kita saksikan pada hari ini.

Jikapun tidak dibalas dengan “tentangan” seperti kes di atas, pendekatan paksaan jarang-jarang mendatangkan kesan yang mujarab. Kalau kita perhatikan dalam konteks Malaysia, hakikatnya tidak kurang calon berketurunan Cina yang mampu mencapai prestasi unggul dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, tetapi penguasaan bahasanya semakin terhakis setelah mereka tamat pengajian.

Mereka mampu skor A dalam SPM, tetapi beberapa tahun kemudian mereka tergagap-gagap apabila bertutur dalam bahasa Melayu dengan makcik yang menjual sarapan.

Pendirian saya agak jelas, bahawa rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu, dan saya menganggap diri saya membuktikan keikhlasan dalam hal ini – sungguhpun untuk saya, penguasaan bahasa Melayu bukan satu-satunya kayu ukur semangat patriotisme.

Apapun, daripada saling menuding jari, apa yang lebih penting adalah cara penyelesaian bagaimana penguasaan bahasa Melayu dalam masyarakat kita boleh dipertingkatkan. Cadangan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah tepat.

Bahasa dikuasai dengan tujuan yang berbeza. Seseorang muslim belajar bahasa Arab supaya lebih memahami teks kitab al-Quran; seseorang peminat K-Pop sanggup belajar bahasa Korea agar dirinya lebih menghayati produk budaya hasilan idola pujaannya.

Cabarannya, apakah faktor tarikan untuk bahasa Melayu dikuasai? Saya cukup terkesan dalam hal ini kerana ilmu pengetahuan biasanya ditimba melalui pembacaan. Saya tertanya-tanya, apakah ilmu yang mampu saya kuasai, melalui pembacaan dalam bahasa Melayu?

Pernah saya melawat Pesta Buku Antarabangsa, yang bertempat di PWTC setiap tahun. Dari pengamatan mata kasar, lebih 85% bukunya adalah buku agama, dengan yang selebihnya terdiri daripada sastera, fiksi, sedikit buku budaya dan politik.

Keadaan sedemikian mencungkil persoalan dalam hati, seandainya saya hanya menguasai bahasa Melayu, ilmu apa yang boleh saya timba, selain agama?
Keadaan sungguh berbeza apabila saya bertandang ke pesta buku yang berlainan bahasa.

Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi jenisnya cukup pelbagai di pesta buku bahasa Cina, sungguhpun ada rungutan beberapa tahun kebelakangan bahawa kualiti buku yang dipamerkan semakin merudum.

Pembaca akan menemui buku yang meramalkan senario antarabangsa pada tahun seterusnya, dilengkapkan dengan peta dunia dan carta. Beberapa tema utama dipilih, perubahan iklim, pertembungan agama, isu pelarian, kebuluran, pergolakan geo-politik, perang perdagangan, pola jatuh naik nilai mata wang, rekod hak asasi, hubungan diplomatik, gelombang demokrasi dan sebagainya – dijelaskan dengan pengenalan sejarahnya, rajah statistik, perkembangan terbaru dan sebagainya – ringkas dan padat!

Kemudian kita akan menjumpai buku-buku yang membincangkan perancangan bandar, pengangkutan awam, pengurusan sisa sampah, penggunaan sumber alam dan lain-lain; buku-buku yang mengupas politik dari segi sejarah, falsafah, budaya, atau dalam bentuk memoir dan sebagainya.

Ada juga buku tentang teknologi maklumat, menjangkakan trend perkembangan masa depan, merungkaikan pertikaian antara kerahsiaan peribadi individu dengan campur tangan kuasa jentera negara dan ekonomi.

Pendek kata, saya memiliki saluran untuk menimba ilmu yang terbentang luas dengan penguasaan bahasa Cina, melalui buku yang dicetak atau diterjemah dalam bahasa Cina.

Tapi apakah ia cukup? Semestinya tidak. Akan ada “titik buta” dalam dunia bahasa Cina, mungkin kerana kejahilan, mahupun prejudis dalam isu tertentu oleh mereka yang berbahasa Cina.

Justeru itu, ia akan dilengkapi jikalau kita membaca buku dari bahasa yang lain, yang mungkin menawarkan perspektif yang berbeza. Inilah nilai bahasa, sebagai saluran untuk kita menerokai dunia ilmu.

Ilmu adalah faktor tarikan yang cukup berkesan, untuk mendorong seseorang agar menguasai sesuatu bahasa – setelah jemu dan tepu dengan berita palsu yang dikongsi melalui media sosial dalam telefon yang lebih pintar daripada pemiliknya.

 

* Artikel ini kali pertama terbit di akhbar Mingguan Amanah, Bil 171, 6-12 Oktober 2019.