Bahaya api-apikan perpecahan agama, kata Bersatu

Bahaya api-apikan perpecahan agama, kata Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berpendapat kenyataan Presiden Umno, Datuk Zahid Hamidi baru-baru ini yang mempersoalkan tentang status agama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah adalah sebagai berbahaya.

“Kenyataan ini adalah petanda betapa Zahid dan Umno amat terdesak. Kenyataan yang mengapi-apikan perpecahan agama sebegini amat bahaya.

“Apakah Zahid mahu menjadi Tuhan yang boleh menghakimi agama seseorang pula?” bidasnya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkenaan juga mempersoal tentang Zahid ketika BN masih menjadi parti pemerintah sebelum ini.

“Semasa berkuasa dahulu dan dikelilingi oleh perasuah berbilion-bilion, ada Zahid tanya sejauh mana diri dia sendiri beramal sebagai seorang Muslim yang sewajibnya mencegah kemungkaran?” soalnya.

Sehubungan itu, Wan Saiful berpendapat hanya Zahid dan Umno akan mendapat manfaat jika berlaku pertelagahan kaum dan agama.

“Mungkin ini sahajalah langkah yang boleh beliau lakukan untuk mengalih pandangan rakyat daripada kes-kes mahkamah yang mungkin membawa beliau ke penjara tidak lama lagi.

“Zahid, bertaubatlah. Cukup-cukuplah kerosakan yang dilakukan. Jangan bawa perpecahan yang lebih buruk kepada negara semata-mata untuk kepentingan diri sendiri,” tambah Wan Saiful.