Malaysia Dateline

Bahaya letak ahli politik, FELDA dari gemilang kepada berhutang

Bekas Pengerusi Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahril Abd Samad menyatakan kesilapan Pakatan Harapan melantik tokoh koporat sebagai Pengerusi FELDA telah meletakkan FELDA dalam bahaya.

Suka untuk mengingatkan Tan Sri pada 17 Januari 2017 setelah lebih kurang dua minggu menjawat jawatan, Tan Sri sendiri akui bahawa FELDA terdapat banyak berlaku ketirisan sehingga mengalami kerugian yang besar dan berhutang berbilion ringgit.

FELDA mengalami masalah kewangan yang sangat meruncing sehingga membawa kepada penjualan saham Maybank dan aset lain seperti hotel di London mengukuhkan aliran tunainya.

Tan Sri juga mengakui keputusan ahli politik yang meneraju FELDA membuat keputusan
memajakkan tanah ladang dan kilang FELDA untuk menyenaraikan ke bursa saham antara
punca utama FELDA telah terjerumus ke lembah bahaya.

Akibatnya, FELDA hilang pendapatan, hutang meningkat melalui laporan kewangan FELDA tahun 2017 kepada RM12 bilion dan kerugian pada RM4.9 bilion. Kesan daripada itu pada tahun yang sama Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mengumumkan peneroka FELDA telah berhutang sebanyak RM5 bilion.

Ketika Tan Sri memegang jawatan sebagai Pengerusi FELDA juga tidak terlepas daripada
kontroversi, antaranya adalah isu pertukaran hak milik tanah Jalan Semarak yang diragui.

Tan Sri berikrar untuk mendapatkan semula tanah tersebut dengan bersusah payahnya disamping bahang untuk menghadapi pilihanraya. Malah, tekanan lebih besar apabila mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan enam insentif kepada peneroka FELDA.

Insentif tersebut termasuk pemberian tunai kepada peneroka, pelupusan hutang saham FGV Holdings Bhd (FGV) dan hutang tanam semula.

Mengikut laporan Kerta Putih FELDA, untuk melaksanakan insentif tersebut FELDA
terpaksa berhutang lagi dengan Maybank sejumlah RM1.5 bilion.

Walaupun begitu, pengakhiran jawatan Pengerusi FELDA oleh Tan Sri sedikit sebanyak
mengurangkan tekanan kepada FELDA dengan beberapa dasar yang baik seperti Muafakat
FELDA dan visi dan misi “Back To Basic” fokus kepada pengurusan ladang dan kebajikan
peneroka.

Selain itu mengekalkan 26 daripada 52 kerusi Parlimen Kawasan FELDA boleh dikatakan jasa besar Tan Sri sebagai ahli politik memegang tampuk FELDA pada PRU-14.

Ahli politik kembali memegang jawatan sebagai Pengerusi FELDA. Diharapkan Tan Sri boleh
memberi nasihat yang baik dan menceritakan perkara sebenar dengan telus apa yang telah
berlaku dalam FELDA ketika Tan Sri menerimanya dari tangan Tan Sri Isa Samad.

Mungkin visi dan misi “Back To Basic” boleh digunapakai semula dan ditambah baik seiring dengan keadaan semasa. Kebajikan peneroka dan generasi pastinya perlu perhatian yang lebih pasca COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang memberi kesan besar kepda
ekonomi.

Semoga pengerusi FELDA yang baharu, Datuk Seri Idris Jusoh berkhidmat dengan baik dan menarik semula FELDA keluar dari lembah bahaya.

*Penulis merupakan generasi kedua FELDA Sungai Sibol, Kulai dan generasi ketiga FELDA Bukit Serampang, Muar di Johor.