Semua pengguna jalan raya pastinya tahu pentingnya menjaga jarak semasa memandu dan menunggang supaya tidaklah berlaku insiden ‘cium’ kenderaan di depan.
Namun, masih ada lagi pemandu yang tidak menitikberatkan aspek keselamatan itu seperti dikongsikan Farid Zainol menerusi rakaman kamera papan pemuka keretanya.
Beliau berkata, sejak awal lagi dia memerhati sebuah kereta Nissan Almera yang mengekori rapat sehingga membuatkannya terpaksa mengambil side ke kanan sedikit.
Menerusi video yang dimuatnaik, dapat dilihat pemandu itu nyaris melanggarnya apabila membrek secara mengejut menyebabkan kereta Honda di belakangnya juga berbuat demikian.
“Memandu kena fokus dengan sekeliling,” kata Farid dalam videonya yang meraih perhatian netizen.
Susulan itu, orang ramai turut berkongsikan pengalaman mereka semasa memandu. Antaranya, Luqman Hakem.
“Saya kalau ikut kereta yang tinted gelap, kereta yang lebih tinggi, atau lori van dan tutup pandangan saya untuk lihat kereta di hadapan dia, saya akan lebih berwaspada,” katanya.
Tambahnya, memandu di belakang kereta yang rendah sedikit atau tinted kurang gelap membolehkan diri lebih bersedia untuk brek kerana boleh nampak lampu brek kereta di hadapan.
Sementara itu, Roselind Icha pula mengamalkan langkah brek dari jauh apabila lampu brek kereta di hadapan tidak kelihatan.
Bagaimana pula jika pemandu terpaksa brek dan berhenti?
Mohd Ramdan berkata, paling baik beri isyarat kanan atau mainkan double signal off lepas itu hidupkan semula double signal kemudian tutup secara berulang supaya pemandu belakang lebih peka.
“Cara ini mengurangkan risiko kereta kita kena sondol,” ujarnya.
Dalam masa sama, ada juga warganet menegur Farid. Izmi Hairi menulis, “Kamu pun janganlah terus brek. Ambil jarak, warning dulu untuk orang belakang peka. Brek dua, tiga kali baru orang alert.”