Malaysia Dateline

Bahayanya Pas kuasai politik, dinafi hak untuk membantah

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menempelak kenyataan perwakilan Pas Kelantan, Datuk Hassan Mohamood yang seolah-olah mengancam ahlinya dengan hadis hukuman bunuh sekiranya didapati cuba memecah-belahkan perpaduan.

Hassan dalam Muktamar Pas kali ke-66 semalam mengingatkan agar ahli parti tidak membantah keputusan pimpinan termasuk tidak meletakkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Mahfuz berkata, pemimpin Pas itu tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian yang dianggap bercanggah dengan prinsip demokrasi negara.

Malah katanya, Perikatan Nasional (PN) dan ahli Umno perlu segera mengisytiharkan penyingkiran Pas daripada komponen parti kerajaan.

“Ini memberikan satu gambaran kepada kita semua tentang bahayanya apabila kuasa politik dikuasai oleh Pas.

“Mereka akan menyebabkan kita berada dalam satu politik yang menakutkan kerana dinafikan hak untuk membantah dasar kerajaan sekiranya dipimpin Pas nanti.

“Umno harus menyingkirkan Pas daripada PN dan Muafakat Nasional (MN) kerana pengaruh perjuangan Pas akan memaksa kerajaan PN yang didokong BN membawa satu pendekatan keras yang sangat bertentangan dengan prinsip demokrasi dalam negara,” katanya menerusi video terkini di Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyeru agar ahli Pas segera ‘membebaskan’ diri dari parti tersebut.

Terdahulu, Hassan mengingatkan agar ahli Pas taat kepada kepimpinan dan apa jua keputusan yang dibuat, perlu dipatuhi sama ada setuju mahupun tidak setuju.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang itu turut menyebut hadis Nabi tentang hukuman bunuh terhadap mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan.

“Apa-apa keputusan yang telah dibuat oleh kepimpinan kita, maka kita mesti patuh, sama ada kita setuju atau tidak setuju

“Selama mana keputusan arahan pimpinan tidak bercanggah dengan hadis, termasuk keputusan kita tak bertanding di Sabah. Untuk lahirkan rasa kecewa boleh, tapi rasa untuk menentang tidak boleh

“Nabi SAW sebut, sesiapa yang cuba-cuba nak memecah-belahkan perpaduan kita, Nabi SAW sebut, faqtuluh, bunuh dia‚Ķ,” tegas Hassan lagi.