Bahtera AMANAH tersasar jika Pemuda leka, kata Salahuddin

Bahtera AMANAH tersasar jika Pemuda leka, kata Salahuddin

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub mengingatkan sayap Pemuda parti itu supaya fokus dengan matlamat selepas memperoleh mandat rakyat pada pilihan raya umum lalu.

“Bahtera yang kita naiki dan kejayaan yang kita kecapi adalah bersama. Jadi, jangan hilang persaudaraan dengan kejayaan yang kita miliki sekarang ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional 2018 kali ketiga di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, Perak malam tadi.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkenaan, perjuangan AMANAH masih belum selesai dan kewujudan parti Islam itu bukan kerana berebutkan habuan.

“Kita (AMANAH) lahir bukan kerana kecewa, bukan kerana habuan, bukan kerana kejar sesuatu, perjuangan kita belum sesuai.

“Kalau Pemuda leka, cuai, bahtera kita tersasar dari haluan dan matlamat, musuh boleh jadi kawan, kawan boleh jadi lawan. AMANAH jangan begitu hilang dari haluan dan matlamat,” katanya.

Salahuddin turut menegaskan pentingnya Pemuda AMANAH membina karakter, jati diri dalam mendampingi denyut nadi memperjuangkan parti agar terus kukuh.

Jelasnya, tempoh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa ini adalah peluang untuk semua pihak bekerja keras demi rakyat.

Loading...

“Inilah kesempatan terbaik kita. Kalau saya tidak cukup kuat bekerja beritahu, beritahu juga Presiden (Mohamad Sabu), beritahu juga kementerian lain (yang diwakili AMANAH) kami akan pastikan kami bekerja dengan lebih kuat,” katanya lagi.

Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional yang bertemakan Membumikan Idealisme, Merealisasi Perubahan merupakan kali pertama AMANAH menjadi komponen parti pemerintah PH.

Untuk rekod, Pemuda AMANAH telah memenangi tujuh daripada 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei lalu.