Malaysia Dateline

Bahtera Merdeka berkumandang di Konvensyen Pakatan Harapan

Penyanyi Aishah, atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin menghiburkan perwakilan dan pemerhati Konvensyen Pakatan Harapan 2018 hari ini dengan dendangan lagu ‘Bahtera Merdeka’.

Juara pertandingan program Gegar Vaganza musim keempat (GV 4) berkenaan turut mengajak hadirin menyanyikan lagu patriotik itu bersama-sama dengannya.

Terdahulu, Aishah ketika mengakhiri slot Pentas Rakyat menyeru kepada golongan artis supaya berani untuk bersuara.

“Saya menyeru kepada artis supaya jangan takut bersuara. Setiap keputusan politik akan memberi kesan kepada hidup kita.

“Kita semua akan merasa kesan daripada setiap keputusan politik,” ujarnya yang berucap mewakili artis tanah air.

Beliau berkata, pendirian artis yang menyuarakan bebanan ditanggung majoriti rakyat wajar dihormati semua pihak.

“Kita patut menghormati pandangan artis yang bercakap soal kos sara hidup.

“Mereka masih prihatin terhadap kehidupan orang lain.

“Kami bersuara bukan membenci tapi mencintai tanah air ini dan ingin melihat hasil negara dinikmati secara adil oleh semua rakyat,” katanya.

Anggota Angkatan Wanita AMANAH Nasional (Awan) berkenaan juga menyeru agar golongan artis tetap diberi perhatian jika Pakatan Harapan menang pilihan raya akan datang.

“Saya mendoakan apabila Pakatan Harapan memerintah tahun ini, janganlah masa kempen ajak artis, bila memerintah ada bajet lupa pada kami,” luahnya.

Penyanyi berusia 52 tahun yang popular dengan lagu ‘Janji Manismu’ itu berharap agar artis dibenarkan berkarya di negara ini tanpa didiskriminasi.