Malaysia Dateline

Baik pulih bendungan Sungai Melaka akan dilaksanakan segera

Projek membaik pulih sistem pintu kawalan air bendungan di Muara Sungai Melaka yang menjadi antara punca berlaku banjir di negeri ini akan dilaksanakan segera bermula tahun ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pihaknya akan berusaha memastikan peruntukan kerajaan Persekutuan dapat dikeluarkan secepat mungkin supaya kerja-kerja membaik pulih sistem berkenaan dapat dimulakan dalam masa terdekat.

“Kita perlu tunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menilai berapa kos keseluruhan sebenar untuk menaik taraf sistem itu, tetapi kalau boleh kita mahu mulakan kerja naik taraf itu tahun ini.

“Kita percaya kerja-kerja menaik taraf ini akan berlarutan sehingga ke tahun depan jadi peruntukan itu akan kita bawa kepada pembentangan Bajet 2020 nanti,” katanya kepada pemberita selepas melawat bendungan di Pintu Kawalan Air Barrage di Muara Sungai Melaka, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew dan barisan pemimpin kerajaan negeri daripada DAP.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kerajaan negeri akan mendahulukan peruntukan bagi kerja-kerja membaik pulih bendungan itu, Lim berkata kementerian menyambut baik langkah tersebut.

“Kalau kerajaan negeri boleh dahulukan, baguslah kita hendak bantu bersama-sama jadi terpulanglah kepada kerajaan negeri lagi pun untuk membuka tender terbuka atau tidak ia mungkin akan memakan masa,” katanya.

Pada Jun lepas, media melaporkan hanya satu daripada empat pintu kawalan air bendungan di Muara Sungai Melaka berfungsi, manakala tiga lagi tidak dapat digunakan sepenuhnya dan ia dipercayai menjadi antara punca berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan rendah sekitar negeri ini.

Dilaporkan juga masalah gangguan sampah yang banyak turut disyaki antara faktor menyebabkan bendungan itu lambat untuk mengepam lebihan air ke Sungai Melaka sehingga mengakibatkan berlakunya bencana itu.

Susulan itu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dilaporkan berkata, sebanyak RM10 juta diperlukan bagi memastikan sistem berkenaan dapat diperbaiki semula.

Pada 8 Julai lepas beliau memaklumkan, sekiranya peruntukan daripada kerajaan Persekutuan belum diterima, kerajaan negeri akan mendahulukan peruntukan tersebut bagi kerja-kerja itu.

— BERNAMA