Baiki sistem baraj di Sungai Melaka, gesa Adly

Oleh ARIF ATAN

Bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata banjir di negeri itu akan berulang selagi sistem baraj di muara Sungai Melaka tidak dibaiki dan ditambah baik.

Katanya, jika sistem baraj tidak ditambah baik di Batu Ampar, maka sekitar Durian Tunggal, Kerubong dan Bandar Melaka akan kekal mengalami banjir berulang.

“Kita sudah menggangu aliran air di Sungai Melaka bagi menjayakan pelancongan negeri.

“Namun, banjir berulang juga akan menyebabkan ekonomi negeri dan kehadiran pelancong juga terkesan,” katanya.

Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil berkata, sekiranya sistem itu tidak ditambah baik sebahagian rakyat Melaka akan hidup dalam kebimbangan selain menanggung kerugian besar akibat kerosakan harta benda.

“Sampai bila rumah harus terendam dan sebahagian hidup rakyat dalam ketakutan dan kerosakan harta benda sekiranya sistem tidak segera ditambahbaik,” katanya.

Justeru itu, tegasnya, pasang surut air laut tidak wajar dijadikan alasan kerana laut memang sedemikian semenjak azali lagi.

Susulan cuaca hujan lebat berterusan di Melaka sejak 31 Disember lalu, ribuan mangsa banjir di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah, dan Jasin dipindahkan secara berperingkat ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat 10.30 pagi tadi, 22 PPS dibuka termasuk terbaharu semalam di SMK Sungai Rambai, Jasin.

Seramai 2,637 mangsa termasuk 89 bayi daripada 679 keluarga dipindahkan.