Malaysia Dateline

Baitulmaqdis: Harapan besar rakyat Palestin, Mesir terhadap Malaysia

Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis hari ini dianggap  berjaya oleh rakyat dari negara Palestin  dan Mesir yang menetap di negara ini, apabila turut sama menyertai himpunan yang
diadakan di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.

Mereka bersetuju dengan pendapat bahawa umat Islam di negara ini perlu sentiasa menggerakkan usaha untuk mengadakan himpunan rakyat khusus mengenai isu yang membelenggu rakyat Palestin.

Selain usaha lebih besar dilakukan kerajaan Malaysia menerusi rundingan dengan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di pentas antarabangsa untuk mencari resolusi terhadap penindasan kepada rakyat Palestin.

Dr Sharif  Abu Shammalah

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Quds Foundation Malaysia Dr Sharif  Abu Shammalah berkata, beliau berasa bertuah kerana dapat menghadiri perhimpunan dianjurkan oleh kerajaan Malaysia ini.

“Hari ini kami rakyat Palestin sangat bertuah kerana kerajaan Malaysia termasuk parti politik, NGO bersama untuk memperjuangkan isu mengenai Palestin.

“Apa yang berlaku sejak hampir tujuh dekad lalu dan hari ini kami dapat lihat semua orang Islam dan bukan Islam di negara ini bersama-sama menentang usaha Amerika Syarikat (AS) untuk
memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke ke Al-Quds (Baitulmaqdis).

“Bagaimana kita jadikan Al Quds isu kemanusian dengan ‘global coalation’ untuk mencari keadilan bersama, terhadap penindasan yang berlaku  sejak sekian lama,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas selesai himpunan diadakan petang ini.

Menurut Dr Sharif lagi terdapat lebih kurang 4,000 rakyat Palestin di Malaysia yang terdiri dikalangan pelajar dan profesional.

Ditanya tentang penolakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam, sebulat suara tidak mengiktiraf hasrat AS untuk menempatkan kedutaannya di Al-Quds.

Dr Sharif menambah,” secara jujurnya 57 negara OIC masih perlukan penyatuan jitu untuk bersama mencapai matlamat pembebasan Palestin.

“Kami mengharapkan negara-negara  OIC tidak hanya banyak bercakap atau membuat resolusi tetapi tidak mencapai matlamatnya.

“OIC atau mana-mana negara Islam tidak terkecuali untuk bersama dalam  tekanan yang dibuat terhadap AS.

“Kami percaya sebagai muslim kita memiliki 1.6bilion suara yang menuntut keamanan terhadap isu Al-Quds di merata dunia dan  kekuatan itu perlu ada dalam satu pertubuhan antarabangsa seperti
OIC,” ujarnya yang berpandangan tekanan perlu diberikan kepada PBB untuk mencapai matlamat bersama bagi OIC.

Ditanya sama ada matlamat itu dilakukan secara diplomasi atau ketenteraan, beliau pesimis mengatakan ‘diplomasi disokong dengan ketenteraan.’

“Dengan ketenteraan ia boleh melindungi diplomasi. Diplomasi  semata-mata tidak akan mengubah apa-apa. Sebarang diplomasi perlu ada ‘backup’ ketenteraan, tetapi bukan berperang,” ujarnya yang hadir bersama beberapa lagi rakan senegaranya bersoladariti demi pembebasan Baitulmaqdis.

Apa yang beliau maksudkan ialah pasukan pengaman amat perlu dalam isu Palestin disamping rundingan diplomasi yang berterusan.

“Kami tidak boleh bertindak tanpa peralatan (tangan kosong). Jika berlaku serangan Israel terhadap Al-Quds rakyat Palestin mempunyai peluang lebih baik mempertahankan tanah air mereka,”
ujarnya.

Seorang rakyat Mesir yang sudah dua tahun berkhidmat sebagai ahli akademik di sebuah universiti swasta di negara ini, berpendapat ‘kempen kesedaran’ mengenai Al-Qud  sangat penting dilaksanakan secara berterusan oleh kerajaan Malaysia.

Prof Dr Muhammad Abdul Wahab

Prof Dr Muhammad Abdul Wahab dari Fakulti Perubatan, Cyberjaya Universiti of Medical Sciense (CUMS) berkata, himpunan diadakan hari ini dianggap berjaya dalam usaha menyedarkan rakyat negara ini terhadap penindasan dilakukan oleh AS terhadap rakyat Palestin.

“Satu himpunan yang sangat kuat untuk menentang AS dan menyokong Jurusalem.

“Nasihat saya kepada semua negara Islam untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin, berjuanglah untuk pembebasan mereka.

“Kita tidak dapat lakukan apa-apa untuk menentang AS kerana kuasa besar tetapi muslim hanya boleh melakukan tekanan berterusan tanpa henti seluruh dunia.

“Himpunan ini adalah satu cara untuk menunjukkan kepada muslim di Palestin bukan hanya berkaitan isu Jurusalem (Baitulmaqdis) semata-mata,” ujarnya.

Beliau juga berkata, himpunan diadakan tidak terhenti setakat himpunan semata-mata.

“Himpunan hanya langkah kecil sebagai permulaan. Kita mahu negara OIC seperri Malaysia menjadi pemain utama.

“Untuk mencapainya ia perlu bermula dengan ‘kempen kesedaran’ mengenai hak rakyat Palestin yang sudah lama ditindas oleh Israel kepada rakyat negara ini.

“Saya percaya ia akan membangkitkan semangat juang kepada rakyat negara ini untuk membela nasib umat Islam seluruh dunia,” ujarnya.

Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis ini dihadiri lebih kurang 3,000 orang dikalangan jemaah masjid, NGO, NGI parti-parti politik dan warga asing yang menetap di negara ini.

Ia dimulakan dengan majlis Forum Khas Baitulmaqdis disusuli solat Jumaat dan himpunan diadakan di ruang legar Masjid Putra.