Baitulmaqdis: Nilai semula keputusan Trump tindakan lemah kerajaan Malaysia,kata Muhyiddin

Baitulmaqdis: Nilai semula keputusan Trump tindakan lemah kerajaan Malaysia,kata Muhyiddin

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tindakan kerajaan menerusi kenyataan Wisma Putra  semalam, mahu Amerika Syarikat (AS) menilai semula keputusannya untuk mengiktiraf Baitulmuqadis sebagai ibu negara Israel adalah satu desakan yang lemah oleh kerajaan Malaysia terhadap Presiden AS Donald Trump.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Trump mengumumkan pemindahan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dan sekaligus mengiktiraf kota suci umat Islam itu sebagai ibu kota Israel adalah satu tindakan yang amat terkutuk.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra meminta Amerika Syarikat menimbang semula keputusannya berhubung kedudukan Baitulmaqdis adalah amat lemah.

“Saya menyokong penuh gesaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, agar Yang Di-Pertua Dewan Rakyat memanggil satu sidang Parlimen tergempar untuk membahas usul mengecam tindakan Amerika Syarikat,” ujarnya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan berkata, dengan keputusan AS itu menunjukkan sikap berat sebelah negara Uncle Sam itu dalam rundingan damai Palestin-Israel dan akan menggagalkan sebarang usaha perdamaian antara kedua-dua pihak selepas ini.

“Lebih dari itu, tindakan ini juga telah menimbulkan kemarahan bukan sahaja dalam kalangan rakyat Palestin, malah umat Islam di seluruh dunia.

“Tindakan ini pastinya akan menambah ketidakstabilan di rantau Timur Tengah yang sedang bergolak dan terus menjadi ancaman keselamatan di rantau itu.

“Malah, tatkala dunia sedang memerangi ancaman keganasan, tindakan pentadbiran Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel tanpa mengemukakan sebarang penyelesaian terhadap penderitaan rakyat Palestin umpama menyimbah minyak ke atas api yang sedang menyala,” ujarnya.

Justeru beliau mendesak Kerajaan Malaysia mengecam keras tindakan pentadbiran AS serta menggesa negara itu menghormati wilayah Palestin sebelum 1967.

Semalam Presiden PKR Datuk Seri Dr wan Azizah Wan Ismail berpendapat Malaysia wajib mengecam tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk memindahkan kedutaannya dari Baitulmaqadis ke Tel Aviv segera menghubungi Trump untuk merekodkan kecaman Malaysia terhadap langkah AS ini.

Selain itu Wan Azizah turut mendesak idang Parlimen tergempar untuk membahaskan usul khas mengecam tindakan AS ini.

Sebagai rekod mengiktiraf Baitulmuqadis sebagai ibu negara Israel, mewujudkan atau memindahkan perwakilan diplomatik ke bandar itu dianggap sebagai pencerobohan bukan sahaja terhadap Arab dan umat Islam, tetapi juga melanggar hak umat Islam serta penganut Kristian.

Ia juga melanggar hak kewarganegaraan penduduk Palestin, termasuk hak mereka untuk menentukan sendiri masa depan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa termasuk resolusi Majlis Keselamatan yang relevan, iaitu Resolusi No. 252 (1968), 267 (1969), 465, 476 dan 478 (1980) dan terkini, Resolusi 2334 (2016).

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS