Baitulmaqdis: Tindakan Trump biadab, cabul hak Palestin dan umat Islam, kata PKPIM

Baitulmaqdis: Tindakan Trump biadab, cabul hak Palestin dan umat Islam, kata PKPIM

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Langkah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah satu tindakan biadab dan mencabul hak warganegara Palestin,kata Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Ahmad Farhan Rosli

Exco Penerangan dan Penyelidikan PKPIM Ahmad Farhan Rosli berkata, pengisytiharan itu suatu penghinaan buat masyarakat Palestin dan umat Islam sedunia.

“Harapan masyarakat Palestin bagi mengembalikan hak BaitulMaqdis sebagai kota utama mereka diragut dengan tindakan Trump.

“Tindakan kurang ajar Trump juga akan mengugat kestabilan dan tahap keselamatan di Timur tengah.

“Ketegangan dijangka terus memuncak dan dibimbangi membuka ruang kepada Israel untuk berterusan menggunakan kekerasan bersenjata ke atas penduduk awam Palestin.

“Ini sekaligus bakal merencatkan usaha pendamaian yang sedang dijalankan antara pihak Fatah-Hamas dan Israel. Usaha ke arah pembentukan dual-country solution dilihat makin sukar dilaksanakan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

PKPIM turut bimbang mengenai kedudukan Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis sebagai tanah suci ketiga umat Islam.

“Usaha ini dilihat sebagai langkah tersirat Zionis Israel bagi meneruskan sekatan, limitasi akses dan proses penyahudiaan ke atas Baitulmaqdis.

“Seluruh pemimpin Negara Islam digesa menyahut seruan Presiden Turki Recep Taiyib Erdogan sebagai Pengerusi OIC bagi menggerakkan tekanan ke atas Israel dan sekutunya jahat mereka, Amerika Syarikat.

“Umat Islam seluruh dunia diseru agar bersatu bagi memastikan nasib Masjidil Aqsa dan hak umat Islam Palestin terus dibela dan tidak dipijak-pijak sang penguasa zalim Israel dan Amerika Syarikat,” ujarnya.

CATEGORIES
TAGS