Malaysia Dateline

Baitulmaqdis: Veteran ATM saran diplomasi, tolak cadangan tentera Malaysia ke zon konflik

Persatuan Patriot Kebangsaan (PPK) berpandangan Kementerian Pertahanan dan kerajaan Malaysia perlu berhati-hati mengenai penggunaan pasukan ketenteraan negara di zon konflik antara Palestin dan Israel.

Datuk Mohd Arshad Raji
Brid Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji

Presidennya Brid Jen (B) Mohd Arshad Raji berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pernah menyertai beberapa misi ketenteraan sebelum ini adalah dibawah pengistiharan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Namun dalam isu Baitulmaqdis ujarnya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB) jelas tidak akan sesekali membenarkan Amerika Syarikat mengubah ibu kota Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

“Sama ada secara langsung atau tidak langsung, bandar Baitulmaqdis yang dipertikaikan sebagai ibu kota Israel hanya membabitkan Amerika Syarikat.

“Ia tidak dibenarkan oleh PBB dan oleh itu, Baitulmaqdis tetap sah di wilayah Palestin dan ini mewujudkan situasi yang sangat kontroversi yang pasti akan mengakibatkan konfrontasi ketenteraan antara Palestin dan Israel,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga Naib Presiden Umno pada ucapan pengulungan Perhimpunan Agung Umno 2017 pada Sabtu.

Hishamuddin dipetik berkata, ATM bersiap siaga menunggu isyarat dan arahan daripada pucuk pimpinan dan payung negara untuk menyumbang peranan sewajarnya dalam isu Baitulmaqdis.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, negara harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berhubung isu berkenaan.

Kata Mohd Arshad lagi kerajaan perlu memikirkan beberapa perkara sebelum membuat keputusan untuk menghantar pasukan ketenteraan negara ini untuk membantu Palestin.

“Jika angkatan bersenjata kita dihantar ke Baitulmaqdis minggu atau bulan yang akan datang, terdapat beberapa soalan yang perlu dijawab.

“Di bawah arahan siapa tentera kita akan diletakkan? Apakah tahap kekuatan persenjataan yang diperlukan untuk misi sedemikan dan bagaimanakah ia dapat distrukturkan?

“Siapakah yang akan membuat keputusan akhir untuk menghantar tentera ke dalam misi yang tidak dimaklumkan atau disetujui oleh UNSC ini?

“Pihak berkuasa yang menyetujui harus memahami bahawa mengerahkan tentera ke dalam zon konflik tidak seperti mengerahkan tentera dalam tugas pengamanan yang disetujui oleh UNSC.

“Kemalangan maut dijangka. Adakah pihak berkuasa yang menyetujui sanggup menerima tanggungjawab sepenuhnya untuk meletakkan tentera kita dengan cara yang membahayakan?

“Dan adakah kerajaan akan membawa isu ini ke parlimen untuk diperdebatkan?,” soalnya.

Tambah Mohd Arshad lagi, konflik antarabangsa di Baitulmaqdis adalah isu politik.

Justeru saranan beliau ia sewajarnya dilakukan secara diplomasi untuk menyelesaikan masalah persengketaan dua pihak membabitkan Israel yang didalangi Amerika Syarikat dengan Palestin itu yang sudah berlarutan sekian lama.

“Sekiranya diplomasi gagal, ia akan menjadi kutukan antarabangsa.

“Adalah langkah tidak bijak sama sekali membuat pengumuman untuk menghantar sepasukan tentera Malaysia ke Baitulmaqdis,” tegasnya.

Katanya lagi, kementerian pertahanan harus memastikan pasukan ketenteraan negara ini adalah kompeten dan terlatih sepenuhnya untuk menghadapi ancaman yang akan berlaku dalam zon konflik yang tidak dikenali atau medan perang.

“Walau apapun sebabnya kerajaan perlu menghantar tentera kita untuk berkhidmat dalam zon konflik di tanah yang tidak asing dengan tentera kita, ia (Baitulmaqdis)  mesti difikirkan dan memerlukan pertimbangan yang serius,” ujarnya.