Bajet 2018: Antara PH dan BN, mana lebih rawat derita rakyat?

Petang ini, perdana menteri yang juga menteri kewangan akan membentangkan Bajet 2018 yang menjanjikan pelbagai berita baik untuk rakyat khususnya kakitangan awam.

Bajet 2018 ini adalah belanjawan terakhir kerajaan memerintah sebelum parlimen dibubarkan paling akhir awal tahun hadapan bagi membolehkan mandat baru diterima daripada rakyat.

Pakatan Harapan (PH) telah pun meluncurkan Belanjawan 2018 pada 25 Oktober lalu dengan mengunjurkan hasil sebanyak RM229.44 bilion berbanding BN sebanyak RM244.48 bilion.

PH memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM200.16 bilion sementara BN diunjurkan berbelanja mengurus sebanyak RM227.28 bilion.

PH memperuntukkan perbelanjaan Pembangunan sebanyak RM58.35 bilion sementara BN sebanyak RM58.22 bilion.

“PH mempunyai nisbah perbelajaan mengurus kepada pembangunan yang lebih baik iaitu 77:23, berbanding nisbah Umno-BN pada 80:20. Defisit Fiskal PH sebanyak 2.0% KDNK, sementara BN sebanyak 2.9% KDNK,” jelas pengarah strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Dr Dzulkefly, selain ‘muka-muka biasa’, Bajet 2018 yang dibentangkan PH turut menerima input pakar-pakar ekonomi bahkan mantan penasihat ekonomi perdana menteri.

“Jadi pak-pak menteri, berpada-padalah nak kritik pun. Jangan ingat kami main congak angka-angka itu. Ada asas dan penilaian pada setiap angka yang kami kemukakan.

“Mudahnya saya simpulkan, Bajet PH sebagai “Belanjawaan Merawat Derita Rakyat”. Ini agaknya yang sangat menjengkelkan Najib dan menteri-menterinya,” ujar beliau mengulas komen-komen negatif anggota kabinet Najib terhadap belanjawan dibentangkan presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam sidang media di parlimen, kelmarin.

Menurut Dr Dzul, ketika pentadbiran Najib mengenakan GST ke atas semua rakyat termasuk golongan miskin dan golongan asnaf, PH mahu menghapuskan ‘cukai songsang’ itu.

PH juga, tambah beliau akan melaksanakan kembali subsidi yang ditarik balik BN bagi keperluan asas rakyat seperti tepung, gula, minyak masak dan bahan bakar (minyak, diesel dan gas) tetapi dengan kaedah ‘terarah’ dan bukan ‘borong’.

“Bajet PH juga dirumus secara komprehensif dan menggarap aspek-aspek ekonomi yang lain termasuk sektor Perbankan dan Ekonomi Islam dan Ekonomi Revolusi Industri 4.0 supaya negara kekal berdaya-saing dalam saingan baru global.

“Ini termasuk bagaimana menjana ekonomi berprestasi tinggi dengan menekankan pembinaan industri dan produk hiliran yang bernilai tambah tinggi. Hanya dengan cara demikian negara mampu mempunyai golongan pekerja yang mempunyai pendapatan yang tinggi,” ujar beliau.

Menyentuh tentang program ekonomi PM Najib Razak atau ‘Najibnomik’, beliau melihatnya sebagai gagal kerana pentadbiran Najib jelas gagal menjana kerja yang mempunyai gaji atau upah yang tinggi.

Bila kadar inflasi melebihi kadar faedah simpanan dalam bank, rakyat jelas beliau mengalami ‘kadar negatif’ dalam simpanan.

“Maknanya nilai duit simpanan rakyat sebenarnya menyusut dalam bank mereka. Najib tidak tahukah akan semua hal ini? Tiga faktor besar yang mencetuskan inflasi yang ganas (virulent) adalah GST, penarikan subsidi dan susut nilai ringgit,” ujarnya.

Menurutnya, inflasi paling buruk pada bulan Mac (5.1%) lalu dan kadar inflasi diramalkan 3.7% purata untuk tahun 2017.

Malah tambah beliau, dapatan penyelidik mendedahkan kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah menghapuskan lebih kurang 50% perbelanjaan isi-rumah secara langsung.

“Bersekali dengan GST, penarikan balik subsidi barang-barang keperluan melonjakkan harga naik antara 14% sehingga 31%. Pengangguran khususnya di kalangan remaja dan graduan serta kehilangan kerja menambah derita rakyat,” ujarnya.

Malah tokoh ekonomi negara Prof Jomo Kwame Sundaram mengecam GST yang didakwanya menjadi faktor utama melebarkan lagi kesenjangan kaya-miskin.

Menurut Dr Dzulkefly, Bajet PH bermatlamatkan mengatasi derita rakyat dengan mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan gaji minima ke paras RM1,500.

Secara lebih khusus, langkah-langkah mengurangkan kos barangan termasuk:

i. Menghapuskan cukai GST yang songsang (regresif).

ii. Menghapuskan tol sekaligus menjadikan kos pengangkutan awam mampu dibiayai rakyat.

iii. Mempastikan rumah mampu dimiliki seperti dilaksanakan di Selangor.

iii. Menawarkan pendidikan percuma bagi mengurang beban hutang PTPTN dan menekankan Pendidikan dan Latihan Teknikal-Vokasional supaya meningkatkan kebolehpekerjaan.

iv. Bayaran balik hutang PTPTN hanya setelah bekas peminjam mendapat gaji melebihi RM4000.

v. Subsidi bahan bakar yang ‘terarah’ dan bukan ‘blanket’ secara ‘borong’ supaya kena sasaran. BRIM akan diteruskan dengan sedikit kaedah dan syarat yang berbeza bagi memaknakan proses pengupayaan rakyat teramai.

vi. Melaksanakan Gaji Minima RM1,500 seperti dilaksana di Selangor dan Pulau Pinang dengan mewujudkan mekanisme ‘co-pay system’ supaya sama ditanggung oleh majikan dan kerajaan akan kenaikan RM500 itu untuk tiga tahun.

vii. Memperkasakan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan secara ‘tripartite’ bagi membela kepentingan dan kebajikan pekerja.

Apa pula yang bakal dijanjikan pentadbiran Najib bagi mengurangkan beban dan derita rakyat?

Ianya akan diketahui pada sesi pembentangan Bajet 2018 oleh perdana menteri petang ini.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 7.0
CATEGORIES
TAGS