Bajet 2018: Beri perhatian kumpulan M40, kata MAICCI

Bajet 2018: Beri perhatian kumpulan M40, kata MAICCI

Bajet 2018 bukan sahaja perlu memberi perhatian terhadap keperluan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) tetapi berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40), kata Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Tan Sri Kenneth Eswaran.

Beliau berkata golongan M40 yang terdiri daripada eksekutif muda dibebani kos hidup yang semakin meningkat tanpa peningkatan pendapatan yang seimbang.

“Ya, penekanan perlu diberikan kepada golongan B40 tetapi M40 yang baharu sahaja memulakan kehidupan telah tidak diberikan bantuan. Dengan peningkatan kos hidup, saya fikir sewajarnya mereka juga perlu dibantu,\” katanya kepada pemberita selepas sambutan Deepavali MAICCI di Pusat Konvensyen HGH di Sentul hari ini.

M40 merujuk kepada golongan isi rumah berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai ialah antara pemimpin yang menghadiri rumah terbuka Deepavali itu.

Kira-kira 5,000 tetamu memeriahkan rumah terbuka itu yang menghidangkan pelbagai jenis makanan tradisional kaum India serta dihiburkan dengan persembahan kebudayaan masyarakat itu.

CATEGORIES