Malaysia Dateline

Bajet 2018 dan badan bukan kerajaan (NGO)

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) melihat dengan penuh harapan Bajet 2018 turut menyediakan peruntukan untuk pembanguan modal insan.

Kami melihat idea kerajaan untuk pembanguanan modal insan adalah satu langkah dan strategi mendatang yang mula diasaskan oleh YAB Perdana Menteri ke-6, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan diteruskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Secara kasar, modal insan ialah pelaburan yang telah digagaskan di peringkat institusi pengajian awam dan swasta untuk menjana suatu kerja yang dilihat sebagai aset penting dalam sesebuah negara. Oleh yang demikian, golongan sasarnya ialah mahasiswa mahasiswi berintelektual dan anak muda dalam menjayakan rencana pembangunan ini.

Dengan itu golongan tersebut diletakkan sebagai golongan pelapis yang mewarisi tampuk pengharapan misi dan visi bagi pemerintahan negara kelak. Antara misi modal insan ialah membangunkan masyarakat yang inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan teknologi asas semasa yang kukuh serta memiliki kemampuan memperolehi dan menggunakan pengetahuan di samping memperkukuh perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni dan menghargai tradisi serta warisan.

Bagi membangunkan modal insan, Serantau Muslim yakin, ilmu pengetahuan yang secukupnya perlu dibekalkan. Kita mahu mendidik mereka menjadi bangsa yang berpekerti mulia, mempunyai hemah yang tinggi, berjiwa besar, cinta akan negara dan mereka mempunyai kekuatan jasmani dan kekuatan rohani.

Kita mestilah menjadi rakyat yang cintakan negara ini, rakyat yang bersemangat, bersedia bekerja dengan kuat, bekerja dengan rajin serta menjadi rakyat yang mengamalkan budi bahasa yang bermutu tinggi.

Serantau Muslim berpandangan dalam mewujudkan situasi dan target tersebut, anak-anak muda dan generasi Malaysia perlulah didedahkan dengan elemen kesukarelawan dan kemanusiaan. Dengan dana dan penumpuan pihak kerajaan terhadap pembangunan pendidikan dan pelajaran yang tinggi dan berfokus, satu jaringan sosial perlu diwujudkan agar hasrat negara untuk melahirkan rakyat dan generasi berteraskan tema dan petunjang bajet untuk ‘mengimbang keunggulan duniawi dan ukhrawi demi mensejahterakan kehidupan rakyat’ dapat dicapai.

Negara kita bukan sahaja memerlukan anak muda dan kepimpinan yang hebat pencapaian akademik dan skil tetapi juga nilai pemikiran insaniah yang berteraskan kehidupan dan realiti semasa. Ini memerlukan mereka meletakkan rasa kebersamaan perit maung kesusahan rakyat.

Segalanya memerlukan pendedahan dan latihan lapangan yang boleh dimainkan oleh pihak berwajib bersama-sama NGO NGO rakyat. Langkah beberapa universiti seperti Universiti Teknologi Petronas sebagai ‘Government Link Universities’ (GLU) dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjadikan ‘Community Engagement’ dan khidmat masyarakat sebagai matapelajar wajib di universiti adalah satu langkah terbaik di mana para mahasiswa juga digalakkan untuk berkerjasama dengan mana-mana organisasi massa dan rakyat, juga NGO-NGO dalam melaksanakan dan mencapai hasrat matapelajaran tersebut.

Melalui kerjasama ini, anak muda dan mahasiswa berpeluangan untuk bersama-sama dengan kepelbagaian NGO sama ada dalam berkomunikasi, lapangan, berorganisasi mahupun latihan kamanusiaan. Di samping itu, hasrat kerajaan melalui Bajet 2018 yang memperuntukkan 50 juta bagi ‘social enterprise’ dan NGO-NGO juga perlulah diambil peluang oleh semua badan bukan kerajaan bagi mengisi dan menstruktur semula hala tuju dan gerak kerja mereka.

Terdapat ribuan badan-badan bukan Kerajaan (NGO) yang bersifat kemanusiaan, agama, alam sekitar, belia, sukan, genre dan pelbagai lagi. Diharapkan ada usaha dari pihak kerajaan bagi memastikan tiada yang terlepas dalam menjayakan petunjang kedua menuju TN50 ini.

Walaupun dilihat 50 juta yang diperuntukkan bagi petunjang ini agak kecil dan perlu dikongsi untuk dua sektor iaitu ‘social enterprise’ dan NGO-NGO, namun Serantau Muslim melihat ianya satu permulaan yang baik bagi menggerakkan NGO-NGO tempatan untuk bersama-sama rakyat dalam membangunkan nilai kemanusiaan dan modal insan yang dicita bersama.

* Penulis adalah Pengerusi Serantau Muslim