Bajet 2018: GST terus jerut anak muda

Bajet 2018: GST terus jerut anak muda

Belanjawan yang dibentangkan Najib Razak minggu lalu masih tidak berupaya menangani bebanan paling ketara ditanggung golongan muda akibat dijerut pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Bajet 2018 jauh tidak membantu dalam meringankan beban rakyat terutama anak muda yang sedang berdepan tekanan kenaikan mendadak kos sara hidup.

“Apa anak muda dapat daripada belanjawan yang diumumkan Najib Razak berbanding Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan?

“Bagai langit dengan bumi kerana belanjawan Pakatan Harapan memang menumpukan untuk meminimumkan penderitaan rakyat secara keseluruhan.

“Selama ini, tekanan sosio-ekonomi sangat memberikan kesan langung kepada anak muda sehingga menjadi punca kepada kegagalan untuk hidup selesa dan sejahtera,” tegasnya dalam forum anjuran Pemuda AMANAH Johor malam tadi.

Menurutnya, langkah Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST yang mulai dikuatkuasakan 1 April 2015 itu berbeza dengan belanjawan yang diumumkan Presiden Umno berkenaan.

“GST telah mendatangkan banyak kesan buruk. GST menjadi perkara asas begitu payahnya anak muda untuk hidup mutakhir ini. Pakatan Harapan dalam belanjawannya berusaha untuk menghapuskan GST.

“Ini sebenarnya membantu anak muda kerana sebelum ini pendapatan boleh guna di tangan rakyat banyak terjejas akibat pelaksanaan GST,” ujarnya dalam slot Santai Anak Muda: Bajet PH 2018 yang dimoderatorkan Exco Pemuda AMANAH Johor, Najib Daud.

Mengulas dakwaan menteri Umno kononnya rakyat memiliki lebihan pendapatan bulanan, Shazni menyifatkan pemimpin rejim kleptokrasi itu sebagai gagal memahami realiti beban dialami majoriti rakyat yang berpendapatan rendah.

“Mungkin dia merujuk pada anak dia. Hakikatnya, kebanyakan anak muda terpaksa memotong banyak perbelanjaan harian dan bulanan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Anak muda dalam tempoh beberapa tahun ini tidak dapat merancang untuk simpanan. Sebaliknya, mereka terpaksa mengurangkan banyak perbelanjaan sebanyak yang boleh bagi menyelamatkan diri daripada kenaikan barang akibat GST,” jelas Shazni lagi.

Turut diundang sebagai ahli panel dalam forum anjuran Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Johor itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Wong Shu Qi.

0.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 1.0