Malaysia Dateline

bendera kelantan

Bajet 2018: Kelantan dijangka terima peruntukan besar

Kelantan dijangka antara negeri yang bakal mendapat peruntukan besar dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata ia berikutan ‘tradisi’ kerajaan Persekutuan memberi sejumlah peruntukan istimewa kepada negeri itu sejak Rancangan Malaysia Ke-Lapan (RMK8).

“Kelantan memerlukan peruntukan besar bagi mengimbangi pembangunan yang dikecapi oleh negeri-negeri lain sekali gus mengelak negeri ini daripada terus mundur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kemas 4U dan Majlis Graduasi Tabika Bachok di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tangok, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Ahmad Jazlan berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah menganaktirikan Kelantan sebagaimana tuduhan yang dilemparkan pembangkang.

Kelantan mempunyai segala-segalanya termasuk kekayaan hasil bumi dan tenaga pekerja yang mahir namun pimpinan kerajaan negeri sekarang tidak mengambil kesempatan untuk menggunakannya secara maksimum, katanya.

Justeru itu, Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata rakyat negeri ini harus menzahirkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri dengan memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir Kelantan selepas ini.