Bajet 2018: Pemerkasaan, kesejahteraan wanita ulangi idea lapuk

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Rina Mohd Harun berkata, langkah-langkah kerajaan untuk memperkasakan golongan wanita dalam Bajet 2018 sebahagiannya adalah idea lapuk yang selama ini dilihat tidak disokong secara optimum di peringkat pelaksanaan.

Beliau berkata, jika di dalam bajet dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mahu tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasakan golongan wanita di negara ini, ia tidak akan tercapai sekiranya kerajaan gagal memastikan aliran peruntukan dalam Bajet 2018 itu kelak menepati golongan sasaran.

“Walaupun peruntukan besar disediakan kepada kumpulan sasaran dengan pelbagai program latihan dan projek yang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi dipertanggungjawabkan, namun ia masih tidak dapat mengubah kehidupan golongan wanita mencapai ke tahap lebih baik.

“Kita mempersoalkan cara bagaimana kerajaan melalui agensi dan kementeriannya menguruskan peruntukan yang disediakan dalam bajet setiap tahun.

“Setiap ‘bajet’ yang dibentangkan bukan sekadar untuk umum langkah yang akan dilakukan atau jumlah peruntukan kepada rakyat semata-mata.

“Hakikatnya kita mahu lihat jumlah peruntukan yang sampai kepada rakyat dan sejauh mana kementerian dan agensi terbabit membuat pemantauan berkala terhadap peruntukan yang disalurkan sama ada ia berjaya mengubah nasib golongan wanita atau sebaliknya tidak berkesan mengubah sosio ekonomi golongan wanita.

Rina Mohd Harun

“Kita tahu semua rakyat termasuk golongan wanita sangat terkesan dengan kos sara hidup disebabkan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan).

“Jika ibu tunggal dan orang miskin dapat bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) atau BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) atau usahawan wanita memperoleh modal perniagaan mereka tetap perlu membayar GST,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai Bajet dibentangkan Najib yang juga menteri kewangan pada 27 Oktober lalu.

Dalam Bajet 2018 Wanita dan Kesejahteraan Keluarga adalah Pe-tunjang keempat iaitu Memacu Pembangunan Inklusif, yang mana kerajaan mengumumkan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

Sebanyak empat langkah diambil iaitu mewajibkan sekurang-kurangnya 30% wanita dalam keahlian Lembaga Pengarah GLC dan GLIC serta badan berkanun, sebelum berakhir 2018; cuti bersalin dinaikkan 60 hari ke 90 hari;RM20juta bagi latihan keusahawanan melalui MyWin Academy dan; pengecualian cukai pendapatan individu kepada golongan wanita untuk kembali bekerja selepas dua tahun berhenti daripada pekerjaan.

Rina yang juga Timbalan Presiden Wanita Pakatan Harapan (PH) menjelaskan, empat langkah tersebut bukanlah idea baharu dan ia dianggap sebagai lanjutan peruntukan kepada bajet yang pernah dibentangkan bagi tahun sebelumnya.

“Perlibatan wanita sebanyak 30% dalam GLC dan GLIC bukan isu baharu tetapi isu lama yang mana ia masih lagi gagal dipenuhi tahun ini ditekankan lagi dengan meliputi badan berkanun pula.

“Kita tidak perlu pergi jauh, cuba lihat dalam jabatan kerajaan sendiri berapa peratuskah golongan wanita memegang jawatan Ketua Setiausaha di kementerian-kementerian?

“Jika mahu 30% penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan,ia harus membabitkan semua agensi dan 25 kementerian kerajaan sebelum kita mahu minta 30% di syarikat GLC, GLIC dan badan berkanun dipenuhi,” terangnya.

Justeru beliau berkata dalam Belanjawan Alternatif PH yang dibentangkan oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 26 Oktober lalu, antaranya turut mengariskan kesamarataan diantara pekerja lelaki dan wanita dalam pelbagai sektor swasta mahupun kerajaan terutama dari segi skop pergajian dan perjawatan juga cuti bersalin bagi wanita selama 120 hari.

“Kita tidak mahu wujudnya jurang gaji antara pekerja lelaki dan wanita sedangkan beban tugas, kelulusan dan pengalaman wanita sama tetapi tidak dibayar gaji dan jawatan yang setara dengan golongan lelaki.

” Dalam bajet 2018, kerajaan memberi penambahan cuti bersalin mandatori dinaikan dariapda 60 kepada 90 hari, tetapi dalam Bajet PH kita bagi cuti bersalin 120 hari.

“Ini kerana kita memikirkan dalam tempoh 4 bulan untuk memberikan masa kepada ibu memantau perkembangan anak dari lahir hingga menghantar anak ke nurseri atau pengasuh sebelum memulakan pekerjaan.

“Kita memberi ruang masa kepada ibu-ibu jika bayi ditinggal kepada pengasuh untuk ibu memantau kesesuaian antara bayi dan pengasuh yang boleh menjaga bayi mereka dengan cara sepatutnya,” ujarnya.

Beliau menekankan sekiranya kerajaan dapat meringankan beban seorang ibu menguruskan bayi dan anak-anak, peluang untuk kerajaan mengharapkan golongan wanita kembali bekerja lebih cerah berbanding tidak menyediakan tempoh cuti bersalin yang lebih lama dan tempat penjagaan bayi dan kanak-kanak yang lebih kondusif dan selamat di pusat jagaan kanak-kanak yang disediakan oleh majikan atau persendirian.

“Dilema wanita apabila mereka terpaksa membuat pilihan sama ada memilih untuk menjadi surirumahtangga atau meneruskan pekerjaan apabila telah mempunyai anak.

“Jika kerajaan mengulangi lagi desakan untuk menggalakkan wanita kembali bekerja dalam Bajet 2018 dengan pemotongan cukai pendapatan individu bagi wanita yang kembali bekerja, golongan wanita juga perlu memastikan urusan rumahtangga mereka diurus dengan baik sebelum membuat keputusan kembali bekerja,” ujarnya.

Beliau juga berpandangan tenaga kerja wanita dalam bidang profesional seperti jururawat, guru, doktor, akauntan dan pentadbiran misalnya, perlu diberi ruang lebih kepada golongan wanita yang ingin kembali bekerja.

Menyentuh mengenai Mywin Academy (Women Innovation Academy Malaysia) yang ditubuhkan pada 2014 itu, beliau turut mempersoalkan sejauhmana kejayaan program-program latihan yang dibuat oleh MyWin Academy sebelum ini tidak pernah didedahkan kepada umum.

“Kita harapkan MyWin Academy ini dapat membantu wanita secara optima bukan setakat memberikan latihan semata-mata.

“Apa yang saya lihat kerajaan banyak menyediakan program, seminar dan latihan keusahawanan tetapi kita tidak pasti sejauh mana usahawan wanita berjaya dilahirkan dan dikalangan yang sudah berniaga pula, sejauh mana mereka membuat pemantauan untuk memastikan usahawan wanita itu dapat bertahan dalam persaingan pasaran, perlaihan teknologi yang mampu berkembang dan berdaya saing dalam perniagaan diceburi khusus kepada golongan wanita.

“Kita perlu lihat golongan usahawan wanita yang berjaya menjalankan perniagan ke tahap industri kecil dan sederhana yang membolehkan mereka mendapatkan pinjaman dari perbankan untuk melebarkan perniagaan sedia ada, jika kerajaan benar-benar mahu memperkasakan golongan wanita, harus mengenal pasti potensi mereka untuk terus dibantu.

“Golongan usahawan wanita yang berjaya ini pula akan mampu melahirkan lebih ramai lagi usahawan baharu di bawah mereka. Ini antara cara untuk kita memperkasakan golongan wanita,” ujarnya yang berharap pemantauan berterusan dalam setiap program dan latihan keusahawan perlu dilakukan oleh agensi yang dipertanggungjawabkan untuk terus memperkasakan wanita di bidang keusahawanan.