Bajet 2018: Pengali kubur, tukang mandi jenazah  rayu kerajaan bela nasib

Bajet 2018: Pengali kubur, tukang mandi jenazah rayu kerajaan bela nasib

Menjelang pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Oktober ini, penggali kubur dan tukang mandi jenazah merayu agar mereka turut diberi pembelaan oleh kerajaan.

Dalam himpunan aman yang diadakan di perkarangan Masjid Daerah Seberang Perai Utara, Teluk Air Tawar, lebih 20 penggali kubur dan tukang mandi jenazah dari Kedah dan Pulau Pinang berhimpun menuntut supaya nasib mereka dibela.

Mohamad Radzi Shamsudin

Menurut Mohd Radzi Samsudin dari Kampung Sungai Pasir, Sungai Petani berkata, beliau telah 18 tahun menjadi penggali kubur.

Namun begitu sejak melakukan kerja-kerja tersebut tiada mana-mana pihak yang tampil untuk memberi perhatian sama ada dari kerajaan negeri Kedah maupun kerajaan Pusat.

“Sememang kerja menggali kubur memerlukan keringat dan kekuatan tenaga, lebih-lebih lagi jika tanahnya keras atau berbatu.

“Adakalanya terpaksa berkhidmat pada tengah malam sekiranya ada jenazah yang hendak dikebumikan pada waktu malam atau sebab-sebab tertentu.

“Sekiranya nasib kami diberi pembelaan, sudah pasti ia dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung sejak sekian lama, ” tegasnya ketika ditemui.

Ismail Hashim

Manakala Ismail Hashim, dari Permatang Tok Labu, Kepala Batas pula berkata, beliau telah hampir 30 tahun menjadi penggali kubur di Seberang Perai.

Namun begitu sehingga kini bukan sahaja tidak pernah merasa elaun bulanan sepertimana yang pernah dirasai oleh pegawai masjid.

“Kerja kami sebagai penggali kubur tidak pernah mengenal masa dan waktu.

“Ada kalanya awal pagi dan ada kalanya sehingga lewat tengah malam terpaksa juga melakukan kerja-kerja tersebut.

“Selama ini kami hanya menerima sumbangan dari waris mereka yang dikebumikan antara RM50 hingga RM60 setiap orang, ” ujarnya lagi.

Sementara itu Sheikh Khuzaid Musa, dari Permatang Binjai, Kepala Batas pula berkata, beliau telah melakukan kerja-kerja menggali kubur dan memandikan jenazah sejak 15 tahun yang lalu.

“Sejak menjadi penggali kubur dan tukang mandi jenazah saya tidak pernah mendapat apa-apa imbuhan sebagai ganjaran dari kerajaan.

“Oleh kerana itu adalah diharapkan menjelang pembentangan bajet oleh Perdana Menteri pada hari Jumaat ini, kami dapat diberi sedikit pembelaan.

“Kami tidak minta banyak, ia sekadar saguhati sepertimana yang diterima oleh golongan lain yang ada dalam negeri ini, ” jelasnya.

Salmah Osman

Bagi Hajah Salmah Othman, dari Sungai Petani, Kedah pula berkata, beliau mempunyai pengalaman memandikan jenazah selama 17 tahun.

Malah katanya, kadangkala terpaksa memandikan jenazah yang uzur dan ada yang dijangkiti penyakit HIV.

Oleh kerana itu ujarnya, adalah lebih baik sekiranya nasib tukang mandi jenazah diberi pembelaan walaupun tidak banyak oleh kerajaan.

“Kami amat berharap kalau boleh kerajaan negeri Kedah memberi sedikit elaun kepada kami sebagai bukti prihatin terhadap tugas kami.

“Dengan bajet yang ada dibentangkan oleh kerajaan minggu ini, semoga nasib kami dapat diberi pembelaan walaupun tidak lumayan.

“Sekiranya kerajaan tidak memberi pembelaan, kami tidak ada tempat lain untuk merayu kecuali kepada mereka sebagai pemerintah, ” katanya sayu.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS