Bajet 2018 umpama morfin penahan sakit

Mohd Sofi Abdul Wahab

Mengulas Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Mohd Najb Tun Razak Jumaat lepas, Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, apa yang diumumkan berhubung bajet berkenaan tidak dapat menyelesaikan isu sebenar kesengsaraan rakyat.

Banyak insentif yang diumumkan bersifat ‘one off’ yang tidak menguntungkan rakyat untuk jangka panjang. Ia umpama ubat penahan sakit sementara yang hanya menghilangkan sakit dalam masa singkat dan selepas itu sakit itu berulang semula, katanya.

“Kerajaan sepatutnya mengkaji punca utama kesengsaraan rakyat dan setelah diketahui puncanya maka langkah-langkah pembetulan untuk mengatasi masalah itu mesti diambil bagi meringankan beban rakyat dalam jangka masa panjang,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurutnya, masalah rakyat sekarang adalah peningkatan kos hidup yang semakin tinggi antaranya disebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta peningkatan harga minyak. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini berkait rapat dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga minyak.

“Oleh itu kerajaan sepatutnya menangani masalah GST dan kenaikan harga minyak ini sebagai langkah paling utama bagi membantu meringankan beban rakyat yang semakin hari semakin tertekan dan menderita.

“Jadi langkah paling efektif bagi meringankan beban rakyat ini jelas sekali ialah dengan menghapuskan GST dan mengawal harga minyak tidak terus meningkat.

“Dengan penghapusan GST ini harga barang boleh dikawal dan diturunkan. Begitu juga dengan kenaikan harga minyak yang menjadi antara kos barangan dan perkhidmatan kerana peningkatan kos pengangkutan.

“Jika harga minyak tidak meningkat serta harga bahan juga tidak meningkat maka tidak ada sebab untuk harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan sesuka hati,” kata beliau.

Jadi langkah kerajaan mengekalkan pelaksanaan GST dan tiada langkah mengawal harga minyak serta barangan dalam Bajet 2018 benar-benar mengecewakan rakyat. Sepatutnya kerajaan mencontohi Bajet 2018 Pakatan Harapan yang jelas berjaya mencadangkan langkah-langkah konkrit untuk mengurangkan beban rakyat, sambungnya.

Pemberian ‘one off’ seperti BR1M, RM1,500 kepada kakitangan awam dan lain-lain kata beliau lagi, hanyalah langkah sementara yang tidak mampu membantu rakyat untuk meneruskan kesejahteraan hidup pada jangka masa panjang.

“Kerajaan sebenarnya cuba mengaburi mata rakyat dengan memperkenalkan bantuan ‘one off’ dan beberapa skim baharu yang sesetengahnya ditiru daripada kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

“Namun mereka lupa bahawa rakyat sekarang sudah cerdik dan mampu untuk berfikir jauh ke hadapan, tidak seperti masa lampau. Rakyat hari ini dapat mengakses maklumat alternatif, tidak seperti masa lampau di mana rakyat hanya disumbat dengan maklumat dari RTM, TV3 dan media cetak yang berpihak kepada kerajaan semata-mata.

“Hari ini rakyat mempunyai media elektronik, media sosial dan media maya yang diakses melalui hujung jari sahaja.

“Jelas sekali Bajet 2018 gagal untuk meringankan beban rakyat terutama golongan miskin di seluruh negara,” jelasnya.

CATEGORIES