Bajet 2019: Angkasa harap peroleh peruntukan RM300 juta

Bajet 2019: Angkasa harap peroleh peruntukan RM300 juta

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan berjumlah RM300 juta dalam pembentangan Belanjawan 2019 sebagai modal pusingan dalam untuk mengembangkan sektor koperasi di negara ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata permohonan itu telah dimajukan kepada Kementerian Kewangan agar peruntukan itu disalurkan terus kepada Angkasa yang berfungsi sebagai penyelaras bagi memperkasakan sektor itu.

“Terdapat lapan sektor yang ingin dimajukan melalui koperasi ini iaitu perbankan, perladangan, pertanian, pembangunan hartanah, pemborongan, pelancongan, kesihatan dan komuniti.

“Sektor koperasi perlu diperkasakan bagi mencapai sasaran perolehan berjumlah RM50 bilion menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas Malam Jasamu Dikenang Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Pahang  di Pekan, Pahang.

Menurutnya modal pusingan sebanyak RM300 juta itu juga diperlukan bagi mengembangkan operasi koperasi tempatan ke peringkat antarabangsa

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, Angkasa menyasarkan lebih banyak koperasi dari negara ini mampu disenaraikan antara 300 koperasi terbaik di dunia yang dipilih oleh Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA).

“Sekarang hanya ada satu koperasi disenaraikan iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) dan kita mahu sekurang-kurangnya lima lagi koperasi tersenarai dalam 100 koperasi terbaik di dunia pada tahun hadapan berikutan senarai tahun ini sudah dimuktamadkan.

“Kalau dapat masukkan satu pun sudah cukup baik, mungkin Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad yang perolehannya hampir menyamai Bank Rakyat,” katanya.- Bernama.