Bajet 2019: Nelayan mohon pinjaman khas, insurans kehilangan peralatan

Bajet 2019: Nelayan mohon pinjaman khas, insurans kehilangan peralatan

Nelayan di daerah ini berharap agar Bajet 2019 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Nov ini, dapat membela nasib mereka termasuk menyediakan kemudahan pinjaman dan insurans kehilangan barangan.

Muda Daud, 48, berkata kos kerosakan alat-alatan seperti enjin, jala dan perahu yang perlu ditanggung nelayan bukannya murah, tambahan pula kebanyakan mereka bukan dalam kalangan orang senang.

“Bayangkan kalau mahu baiki bahagian kecil enjin sahaja pun sudah menelan belanja lebih RM500, apa lagi kalau macam-macam kerosakan berlaku serentak… kalau tidak ada duit nak baiki, terdampar begitu sahaja perahu kami, dan tidak boleh ke laut mencari rezeki.

“… dan untuk membaiki atau beli baharu perlu dibuat secara tunai, tidak boleh hutang atau ansuran, jadi saya fikir kalau ada pinjaman khas khusus untuk menampung bebanan kos kerosakan alat-alatan, mungkin kami boleh bernafas sedikit,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata apa diterima nelayan ketika ini dari segi bantuan kerosakan alatan adalah melalui Skim Bantuan Kebajikan dan Bencana Alam daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) secara ‘one off’ setahun.

“Itupun kalau kerosakan berjumlah RM1,000, kita akan dapat RM500 sahaja, kita harap bantuan kerosakan ini dapat ditambah baik dengan menawarkan kadar bantuan yang lebih tinggi nilai,” katanya.

Sementara itu, Sivaraja, 53, berharap agar kerajaan dapat menyediakan insurans kehilangan alatan atau kelengkapan nelayan.

“Saya harap insurans seperti ini dapat diberikan kepada kami kerana adalah mustahil untuk kami membawa pulang perahu dan enjin ke rumah setiap hari bagi mengelak dicuri, kita tiada pilihan memang kena tinggalkan di jeti.

“Tetapi bayangkan siang malam kita asyik memikirkan barang-barang kita selamat atau tidak, masih ada atau tidak, kerana ia berada di tempat terbuka… jika berlaku kecurian kita kena beli semula, satu enjin boleh mencecah ribuan ringgit, kalau termasuk perahu berapa puluh ribu pula,” katanya.

Awalludin Buyung, 56, berkata selain itu kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan bagi menyediakan pangkalan nelayan yang lebih baik di samping memudahkan proses permohonan lesen.

“Kita perlukan pangkalan nelayan lebih baik, macam sekarang ini ada lagi pangkalan nelayan tidak serupa pangkalan, di samping tiada kemudahan asas yang baik di tempat berkenaan.

“Selain menambah peruntukan, insentif dan subsidi bahan api, ada sesetengah nelayan terlalu sukar mendapatkan lesen sedangkan lesen telah dimohon hampir dua hingga tiga tahun lamanya, keadaan ini ibarat hak mereka yang juga merupakan nelayan aktif hendak ke laut, dinafikan,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan dari segi peruntukan, bantuan, insentif dan sebagainya itu amat diperlukan untuk kelangsungan hidup golongan nelayan.-Bernama.