Bajet 2019 serlahkan keprihatinan PH bela institusi agama

Bajet 2019 serlahkan keprihatinan PH bela institusi agama

Bajet 2019 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini menyerlahkan lagi keprihatinan serta kepedulian kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap institusi pendidikan Islam dalam negara ini.

Malah peruntukkan sebanyak RM50 juta kepada Maahad Tahfiz dan RM25 juta kepada sekolah pondok yang berdaftar merupakan suatu peruntukkan yang amat dinanti-nantikan oleh institusi pendidikan Islam tersebut.

Mohd Asmirul Anuar Aris

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris ketika ditemui selepas Konvensyen AMANAH Negeri Kedah semalam.

“Bajet kali ini memperlihatkan betapa kerajaan PH bukan saja peduli terhadap Maahad Tahfiz dan Sekolah Pondok tetapi juga kepada Sekolah Mubaligh apabila sebanyak RM50 juta disediakan untuk institusi tersebut.

“Walaupun kerajaan memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi Sekolah Kebangsaan, ia juga menyediakan peruntukkan sebanyak RM50 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan RM50 juta lagi bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Lebih ketara lagi apabila kerajaan turut memberikan dana dalam bajet tahun depan sebanyak RM15 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan atau ‘Conforming School’ dan sejumlah RM12 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina,” tegasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan exco kerajaan negeri Kedah turut berkata, dengan jelas ia membuktikan betapa kerajaan PH memberi fokus kepada penambahbaikan institusi pendidikan agama Islam serta institusi pendidikan persendirian selain Islam.

Oleh kerana itu ujarnya, dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan PH tidak peduli terhadap perkembangan sekolah agama maupun institusi pendidikan Islam adalah meleset dan menyimpang.

Dalam bajet 2019 baru-baru kerajaan turut menyenaraikan peruntukkan sebanyak RM50 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) serta juga RM50 juta masing-masing kepada Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Berasrama Penuh.

“Peruntukan bagi menaik taraf dan menyelenggara institusi pendidikan Islam tersebut adalah suatu keperluan demi pembangunan masa depan yang lebih terjamin.

“Yang jelas kerajaan PH kini membuktikan kemampuan untuk menjaga keperluan institusi pendidikan Islam kepada suatu tahap yang lebih baik jika dibandingkan dengan kerajaan yang diperintah oleh BN sebelum ini.

“Sumbangan kepada institusi pendidikan selain dari Islam juga membuktikan kerajaan PH tetap menjaga keperluan mereka dengan sebaik mungkin, ” tambahnya lagi.

Sebelum ini sejarah kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang menjadi model apabila ia terlebih awal memberikan sumbangan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat, Pondok, Maahad Tahfiz, Tadika Islam dan juga Kelas Agama dan Fardhu Ain atau Kafa.

COMMENTS