Malaysia Dateline

Bajet 2023: Gula-gula tanpa intipati banteras rasuah

Bajet 2023 dengan spekulasi PRU15 akan diadakan sebelum akhir tahun ini hanyalah gula-gula tanpa intipati untuk membanteras masalah yang lebih besar iaitu rasuah.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, masalah rasuah boleh mengakibatkan anggota ‘Keluarga Malaysia’ merana kerana keperluan bajet pembangunan sepatutnya dinikmati lebih daripada RM97 bilion yang diperuntukan dalam Bajet 2023.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak itu menegaskan bahawa Bajet 2023 kali ini tiada jauh bezanya dengan belanjawan sebelumnya ketika negara melalui fasa pemulihan dalam membina ketahanan nasional yang memerlukan pengurusan lebih efektif dan sifar ketirisan.

Ujarnya, keberhutangan negara masih tinggi iaitu RM1.4 trilion dan hutang 1MDB pula masih berbaki RM25.9 bilion.

Jelas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, pada 2019 semasa kerajaan PH mentadbir, usaha mengambil balik aset 1MDB yang berterusan hingga 2022 telah berjaya mengembalikan sebanyak RM19.3 bilion.

“Yang membezakan bajet kali ini hanyalah pengenalan Pemetaan SDG (Sustainable Development Goals) dalam sektor-sektor yang diperuntukkan berpandukan 17 agenda SDG di mana sektor pendidikan dan pengukuhan institusi dan keadilan merupakan dua sektor terbesar yang mendapat peruntukan masing-masing sebanyak RM78 bilion dan RM67 bilion.

“Pembangunan Hijau mendapat tempat sebagai keperluan Malaysia memasuki fasa 70 peratus mengurangkan penyahankarbon pada tahun 2024.

Dr Mujahid Yusof Rawa

“Namun begitu dasar agresif dan holistik masih jauh dari pencapaian selagi ‘environmental, social & governance’ (ESG) tidak menjadi ekosistem dalam membangunkan negara,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Parit Buntar berkenaan berkata, sebagai bukti, pengukuhan kepada keberkesanan mengelak ketirisan masih lagi tidak diperincikan.

“Bajet kali ini adalah ‘business as usual’ dalam anugerah kontrak tanpa penegasan kepada perlunya tatakelola yang telus dan bertanggungjawab.

“Isu LCS (kapal tempur pesisir) dan OPV (kapal peronda luar pesisir) dalam keperluan menjaga keselamatan maritim negara berpotensi untuk berulang lagi dalam pembekalan aset keselamatan negara, ” ujarnya.

Untuk rekod, projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan RM9 bilion.

Kontrak bagi projek milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu bermula 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya pada Ogos lalu menyatakan, tiada kapal yang diterima walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus.

Sementara itu, projek pembinaan tiga OPV Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bernilai RM740 juta pula masih belum siap, lewat dua tahun daripada tarikh asal.

Sudah membarah

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, mendanai parti politik dan mengkayakan oligarki tidak ditangani dan rasuah dalam kontrak kerajaan menjadi sistematik dan sudah membarah.

Tambahnya, satu akta baharu bagi perolehan kerajaan (GPA) yang lebih telus diperlukan.

“Begitu juga akta fiskal bertanggungawab (FRA) untuk memantau perolehan dan tatakelola kewangan dalam kontrak. Manakala Bajet 2023 tidak memperkenalkan komitmen menangani rasuah,” katanya.

Tegas beliau lagi kerajaan terpaksa berbelanja RM485 juta dalam Bajet 2023 untuk penyelenggaraan semua kapal dan bot APMM yang usang bagi memastikan keselamatan kawasan maritim negara.

Selain itu, jelasnya, tiga unit OPV bernilai RM739 juta masih gagal disiapkan sejak anugerah rundingan terus pada tahun 2017 walaupun RM500 juta telah dibelanjakan.

Baca juga ‘Umpan PRU-15’: Karikatur gaya chef Salt Bae tarik perhatian orang ramai

Baca juga Duit ada semua boleh jalan? Ini kisah Burj Khalifa dan Jalur Gemilang