Bajet 2023-Peruntukan sektor pendidikan bertambah harap beri kelegaan, motivasi kepada guru

Oleh NASUHA RAHMAN

Mengalu-alukan peruntukan Bajet bagi Kementerian Pendidikan sebanyak RM55.6bil (2022:52.6bil), bertambah sebanyak RM3bil berbanding tahun 2022. Ini menunjukkan komitment kerajaan memastikan Pendidikan anak bangsa terus terpelihara.

Disamping itu infrastruktur sekolah dapat dijaga, dipelihara dan dibaik pulih. Manakala, kebajikan guru-guru juga terus dijaga dan dibela kerana guru adalah komponen penting KELUARGA MALAYSIA dalam merealisasikan aspirasi Sekolahku SEJAHTERA dan melahirkan PEMIMPIN NEGARA di masa hadapan.

Seluruh ibubapa dan penjaga murid-murid tentunya bergembira mendapat “durian runtuh” Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kerana bukan sahaja kadar BAP dinaikkan dari RM100 tetapi RM150 seorang murid, malahan tiada lagi terhad kepada ibubapa penjaga berpendapatan RM3,000 dan ke bawah, bahkan untuk semua ibubapa tanpa tanpa mengira pendapatan. Untuk ini Bajet 2023 memperuntukan sebanyak RM825juta berbanding RM450 bajet 2022.

Taqiyuddin Amini Abdul Satar

Program Rancangan Makanan Tambahan juga ditambah baik dengan penambahan bajet dari RM777juta berbanding RM280juta pada tahun 2020. Kenaikan signifikan ini melibatkan penambahan bekalan susu kepada pelajar, sesuai dengan kenaikan harga bahan mentah.

Peruntukan bagi pembekalan makanan bermasak di Semenanjung dinaikkan dari RM2.50 kepada RM3.50 dan Rm3.00 kepada RM4.00 di Sabah, Sarawak dan Labuan. Ini memberi manfaat kepada 800ribu murid-murid dan 7300 pembekal makanan dan susu. Diharapkan pembekal yang berjaya memberikan khidmat terbaik membekalkan makanan berkhasiat, bersih, selamat dan sihat kepada murid dan tidak cuai dan sambal lewa.

Kita sering mendengar cerita sekolah yang daif dan sekolah yang mempunyai kemudahan yang tidak mencukupi sehingga membuat kutipan derma untuk tujuan membantu sekolah memenuhi keperluan dan kemudahan untuk para murid.

Justeru, bajet tahun ini memperuntukkan RM2.3bil untuk tujuan menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan selamat.

Dari jumlah tersebut RM1.1bil adalah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah. Manakala RM1.2 bil adalah untuk pembaikan sekolah daif seperti menggantikan bangunan kayu lama terutamanya di Sabah dan Sarawak

Walaubagaimanapun, jumlah ini amat sedikit berbanding keperluan sebenar yang dianggarkan sebanyak RM15.08bil meliputi 73 sekolah daif skala 7 dan 1,238 sekolah daif skala 6. Kementerian Pendidikan perlu membuka ruang untuk pihak ibubapa, badan bukan kerajaan, serta syarikat swasta membantu sekolah dalam membaiki prasarana dan kemudahan murid dengan menyediakan insentif cukai yang menarik.

Usaha Kerajaan membina 5 buah sekolah baru termasuk di Kawasan Shah Alam adalah amat tepat. Kerajaan perlu mengambil kira demografi penduduk yang mengalami proses transmigrasi dan urbanisasi dari kawasan kampung melalui penghijrahan ke bandar dan pinggir bandar dan Kawasan perindustrian.

Justeru ada ketidakseimbangan bilangan murid di luar bandar yang mengalami kekurangan murid dan lebihan kemudahan dan limpahan murid di Kawasan bandar-bandar sehingga setiap tahap sehingga 11 kelas dengan setiap kelas mempunyai 40 orang pelajar. Ini akan menyebabkan kualiti pembelajaran mungkin merosot. Ini juga menyebabkan ketidakcukupan kemudahan kerusi, meja dan peralatan pembelajaran, bahkan bilik-bilik darjah.

Sebagai menghargai dedikasi dan pengorbanan guru, seperti yang dijanjikan YAB Perdana Menteri di Majlis Amanat Perdana Khidmat Awam ke-18 pada Ogos lalu, kerajaan telah bersetuju menambah cuti rehat khas bagi pegawai perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat lebih 10 tahun dari 10 hari kepada 15 hari.

Ini memudahkan guru menguruskan urusan peribagi dan mengumpul GCR. Ini memberi manfaat kepada lebih 500 ribu guru. Guru juga menerima manfaaat Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 yang melibatkan Gred 11 – Gred 56.

Diharapkan ianya dapat memberi kelegaan dan motivasi kepada guru untuk memberi khidmat terbaik dalam mendidik KELUARGA MALAYSIA, seterusnya membentuk pemimpin KELUARGA MALAYSIA di masa hadapan.

Seperti biasa Bajet 2023 perlu dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara seterusnya diluluskan.

Penulis adalah Rakankongsi MNZWAJA Chartered Accountants

Baca juga: Cuaca sudah mula memburuk, hasrat Umno untuk adakan PRU-15 sebelum musim banjir sukar