Bajet besar DLP ibarat mencurah garam ke laut – Presiden Pas

Bajet besar DLP ibarat mencurah garam ke laut – Presiden Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik yang mencecah peruntukan puluhan juta ringgit dilihat sebagai satu perkara yang sia-sia.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keadaan tersebut sama sekali tidak menguntungkan generasi masa depan lantaran menafikan peranan bahasa ibunda sebagai alat utama untuk menuntut ilmu.

“Maka bajet besar untuk DLP laksana mencurah garam ke dalam laut tercemar itu, di mana mangsanya ialah beberapa generasi yang tenggelam ke dalamnya kerana melahirkan bangsanya yang tidak berjiwa, cerdiknya yang tidak boleh ditumpang dan bodohnya hilang perhitungan.

“Menjadikan didikan rakyat seramai mungkin kalau tidak seluruhnya, wajib menuntut ilmu dengan bahasa ibundanya sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Islam yang mewajibkan fardu ain ke atas tiap-tiap penganutnya termasuk menunaikan sembahyang dalam bahasa Arab tetap dipelajari dengan bahasa Melayu.

“(Ini) termasuk ibadat puasa dan akhlak mulia yang tidak bercakap juga dipelajari dengan bahasa Melayu, mahu menunaikan haji ke Makkah kursusnya dalam bahasa Melayu,” jelasnya.

Tegas menganggap agenda DLP adalah “angkara penasihat yang berilmu salah”, Hadi berpendapat program itu akan menyesatkan rakyat dan merosakkan negara.

“Bagaimana mahu melahirkan ilmuan sains dan teknologi seramai-ramainya dalam kalangan bangsa dengan bahasa asing?

“Asal tujuan mempelajari bahasa asing supaya cerdik meningkatkan ilmu dan jangan ditipu, tetapi salah langkahnya menjadikannya ramai yang tertipu dan ditipu,” bidasnya lagi.

Ahli Parlimen sokong Mansuhkan DLP

Dalam hal berkaitan, sidang media dan kempen gerakan Mansuhkan DLP di perkarangan Parlimen hari ini menerima sokongan daripada kalangan pemimpin dari parti Amanah, PKR dan Pas.

Himpunan terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan belia nasional seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada tengah hari itu turut dihadiri ahli akademik, Profesor Shaharir Md Zain.

Antara pemimpin yang hadir memberi sokongan membantah pelaksanaan DLP ialah Adun Hulu Kelang yang juga NGO Otai Reformis, Saari Sungib; Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad serta pemimpin PKR iaitu Datuk Dr Idris Jauzi, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Dr Muhd Nur Manuty.

Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2016 akhir tahun lalu mengumumkan peruntukan sebanyak RM38.5 juta untuk pelaksanaan DLP dan Program Imersif Tinggi (HIP).

Awal tahun ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof dilaporkan berkata, 300 sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara terlibat bagi peringkat pertama permulaan program rintis DLP tersebut.

TAGS