Bajet Melaka 2018: Wang rakyat dibazirkan untuk bayar faedah hutang negeri

Bajet Melaka 2018: Wang rakyat dibazirkan untuk bayar faedah hutang negeri

Bajet 2018 yang dibentangkan pada Sidang Dun Melaka semalam hanyalah kosmetik. Ini kerana bajet tersebut gagal memperuntukkan bajet yang sepatutnya untuk pembangunan negeri.

Kerajaan memperuntukkan RM373.67 juta untuk bajet 2018 dengan RM363.70 juta untuk perbelanjaan bekalan dan RM9.97 juta untuk perbelanjaan tanggungan. Hasil yang dijangkakan adalah RM373.95 juta. Ini bermakna bajet ini adalah bajet lebihan(surplus) iaitu sebanyak RM0.28 juta.

Kerajaan Melaka hanya memperuntukkan RM60 juta iaitu kira-kira 16.05% sahaja dari bajet ini untuk perbelanjaan pembangunan. Kerajaan sepatutnya memperuntukan jumlah bajet untuk pembangunan dengan lebih besar untuk kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri. Adalah lebih baik kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya 30% untuk bajet pembangunan. Jelas sekali kerajaan tidak dapat memperuntukkan bajet pembangunan lebih tinggi kerana kegagalan kerajaan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri di mana rezab negeri hanya RM88 juta.

Bajet tersebut juga gagal memberikan keyakinan untuk membolehkan kerajaan negeri membayar hutang yang mencecah RM845 juta. Amat malang kerana kerajaan terus membiarkan hutang negeri berjumlah lebih RM800 juta sejak lebih 5 tahun lalu dan mengakibatkan kerajaan terpaksa membayar lebih RM107 juta faedah setiap tahun. Jumlah ini lebih besar dari bajet pembangunan iaitu hanya RM60 juta. Alangkah baiknya jika bayaran faedah RM107 juta digunakan untuk pembangunan. Untuk itu sepatutnya kerajaan mesti berusaha untuk menyelesaikan hutang ini secepat mungkin bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat yang digunakan untuk membayar faedah ini. Kegagalan kerajaan membayar hutang ini membuktikan kegagalan kerajaan ini menguruskan kewangan dengan baik sehingga wang rakyat terbazir begitu sahaja.

Selain itu insentif-insentif yang diumumkan semalam tidak mensasarkan golongan terbanyak malah ianya bersifat ‘one off’ yang tidak membantu mereka yang memperolehinya pada jangka panjang.

Selain itu kerajaan sekali terpaksa memperuntukkan bajet sebanyak RM74 juta untuk menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM). Sedangkan sebelum ini kita melihat LTAM ini telah dinaiktarif tetapi masih juga gagal untuk membolehkan pesawat Airbus A320 dan Boeing 737. Ini membuktikan bahawa projek naiktaraf sebelum ini gagal mencapai objektif dan wang terbazir begitu sahaja. Sepatutnya kerajaan mengkaji mengapa dengan peruntukan lebih RM200 juta LTAM masih berada di tahap lama.

Sepatutnya kerajaan memikirkan bagaimana untuk memberikan bantuan berterusan kepada rakyat seperti air percuma seperti Selangor, pengurangan kadar cukai pintu dan tanah, pengecualian lesen perniagaan dan sebagainya.

Antara insentif yang diumumkan oleh Ketua Menteri semalam ialah sumbangan untuk RELA sebanyak RM1.053 juta kepada 3,512 anggota RELA yang tidak berpencen berumur 60 tahun ke atas. Sepatutnya kerajaan tidak menghadkan umur untuk insentif ini kerana anggota RELA yang berumur 60 tahun ke bawah lebih terbeban dengan kos sara hidup kerana mereka sudah tentu mempunyai anak-anak yang masih belajar dan belum bekerja. Sedangkan anggota RELA yang berumur 60 tahun ke atas sudah tentu anak-anak mereka sudah besar dan telah bekerja.

Insentif seterusnya ialah RM300 untuk seramai 1,400 orang nelayan berdaftar sahaja. Sepatutnya kerajaan memberikan insentif kepada semua nelayan di mana bagi nelayan yang tidak berdaftar sepatutnya didaftarkan.

Kerajaan juga sepatutnya tidak menghadkan insentif galakan RM500 kepada pelajar-pelajar yang mendapatkan semua A untuk SPM, STPM dan mumtaz untuk STAM. Sepatutnya ia diluaskan skop kepada pelajar cemerlang yang berasal dari keluarga yang berpendapatan rendah.

Insentif seterusnya diberikan kepada 345 orang guru termasuk guru KAFA yang bakal bersara sebanyak RM500 seorang. Bagi saya insentif ini tidak menyasarkan kepada seluruh guru-guru dan ianya bukan bersifat jangka panjang. Sepatutnya kerajaan menukar guru-guru yang berstatus kontrak kepada jawatan tetap dan berpencen untuk kebajikan jangka panjang mereka. Bukan setakat pemberian ‘one off’ seperti ini.

Insentif untuk jemaah haji sepatutnya diperluaskan kepada semua jemaah haji yang kurang berkemampuan bukan sahaja kepada jemaah haji kali pertama yang berumur 60 tahun ke atas yang tidak berpencen.

Begitu juga dengan insentif kepada ibu-ibu tunggal tidak sepatutnya dihadkan kepada mereka yang berumur 69 tahun ke atas yang tidak berpencen tetapi diberikan kepada semua ibu tunggal yang layak tanpa mengira umur. Ini kerana ibu tunggal yang muda sudah tentu mempunyai tanggungan yang besar sedangkan ibu tunggal yang berumur 69 tahun ke atas mempunyai anak-anak yang sudah bekerja.

Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan bantuan ‘one off’ berjumlah RM300 untuk bekas-bekas pekerja kontrak PBT iaitu Pembantu Awam Gred H11/14 yang berkhidmat lebih 25 tahun. Sepatutnya kerajaan bukan setakat memberikan bantuan ‘one off’ tetapi memberikan pencen kepada mereka ini serta juga semua kakitangan kontrak lain yang berkhidmat lebih 25 tahun.

Bagi orang-orang muda yang terlantar kerana kemalangan kerajaan sewajarnya memberika bantuan berterusan bukan sekadar ‘one off’ sehinggalah mereka berupaya untuk bekerja semula.

Jelas sekali insentif-insentif ini hanyalah untuk meraih populariti bukannya untuk membantu rakyat terbanyak dalam jangka masa panjang. Ia hanya menyasarkan bilangan rakyat yang terlalu kecil dan bersifat ‘one off’ sahaja.

CATEGORIES