Bajet pembangunan rangsang pertumbuhan ekonomi Melaka, kata Adly

Bajet pembangunan rangsang pertumbuhan ekonomi Melaka, kata Adly
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari membentangkan Belanjawan 2019 hari ini

Kerajaan Negeri Melaka menyediakan peruntukan bajet pembangunan bagi tahun 2019 sejumlah RM65 juta sekali gus menunjukkan peningkatan RM5 juta berbanding tahun 2018.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, bajet tersebut khusus bagi pembangunan pendidikan sekolah agama, pembangunan infrastruktur dan mengatasi masalah banjir serta saliran negeri.

Menurutnya, ekonomi negeri berada dalam keadaan memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan 8.1 peratus iaitu kedua tertinggi selepas Negeri Sabah.

“Kadar itu merangsang peningkatan pendapatan perkapita iaitu RM46,015 berbanding RM41,379 tahun 2016 dengan nilai pertumbuhan ekonomi sejumlah RM35.9 bilion.

“Asas ekonomi itu berupaya menjana hasil negeri, memperkemas kewangan agensi kerajaan negeri serta memperkenal langkah-langkah perbelanjaan secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.

Jelas Adly, usaha itu berupaya untuk memperkukuh asas kewangan negeri ke arah mensejahterakan rakyat.

“Spektrum ekonomi yang kondusif ini akan menarik minat pelabur untuk melabur di Melaka.

“Kerajaan negeri juga akan terus melaksanakan misi-misi perdagangan dan pelaburan ke luar negara,” katanya.

Ujarnya, setakat ini kerajaan negeri menduduki tempat kelima teratas dengan nilai pelaburan RM4.7 bilion.

“Kerajaan negeri mensasarkan pelaburan asing dan domestik RM4 ke RM5 bilion bagi tahun 2019,” katanya.

Belanjawan 2019 melibatkan peruntukan berjumlah RM384.29 juta dengan mencatatkan lebihan RM2 juta berbanding tahun 2018 iaitu RM280,000.

Belanjawan 2019 Melaka itu merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM382.23 juta dan perbelanjaan pelbagai pemberian sebanyak RM95.56 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM384.29 juta pada tahun depan.

Jumlah belanjawan yang disediakan tahun depan itu menyaksikan peningkatan peruntukan kira-kira 2.76 peratus berbanding Belanjawan tahun lalu RM373.95 juta.

Daripada perbelanjaan mengurus itu, sebanyak RM106 juta diperuntukkan untuk bayaran emolumen bagi pegawai tetap, perkhidmatan dan bekalan (RM161.68 juta) dan pembelian aset berjumlah RM3.2 juta.

“Ini merupakan belanjawan sulung kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bakal mencorakkan negeri Melaka ke arah Negeri Berwibawa selepas 61 tahun belanjawan dibentangkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

 

 

COMMENTS