Malaysia Dateline

Bajet Perlis 2018: Jangan hanya bagus atas kertas sahaja

Ketua Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Negeri Perlis, Che Mazlina Che Yob, mengingatkan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man supaya melaksanakan apa yang dibentangkan dalam bajet 2018 Perlis dan bukannya hanya setakat pembentangan semata-mata.

Beliau berkata, adalah dibimbangi bajet yang bertemakan ‘Memacu Pembangunan Negeri, Mengutamakan Kebajikan Demi Kesejahteraan Rakyat’ hanya setakat penyedap kata, sebaliknya tidak mampu direalisasikan.

Che Mazlina Che Yob

“Kita tidak mahu peruntukkan yang diuar-uarkan berjumlah mencecah puluhan juta, tetapi ia tidak sampai ke golongan sasaran.

“Tema ‘Mengutamakan Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat’ juga masih samar-samar sama ada ia mampu direalisasikan ataupun sebaliknya.

“Masih begitu ramai rakyat negeri Perlis yang masih miskin serta tidak mendapat pembelaan sewajarnya sedangkan peruntukan yang disediakan berjumlah RM257.33 juta untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan,” kata beliau ketika ditemui dalam satu program di sini baru-baru ini.

Beliau juga berkata, masih ada golongan daif dan tidak mendapat pembelaan khususnya di kawasan Parlimen Arau yang diwakili oleh Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jalan kampung yang rosak di Kampung Long Boh, Tambun Tulang, Arau.

“Ada penduduk miskin yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya sehingga kini.

“Begitu juga dengan penduduk miskin yang terpaksa tinggal dalam serba kekurangan termasuk tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

“Terdapat banyak bukti kemiskinan melampau sehinggakan ada antara keluarga miskin yang terpaksa tinggal berhampiran sungai di Kuala Perlis tidak mempunyai bekalan air dan elektrik,” ujarnya lagi.

Selain itu katanya, peruntukkan untuk menaik taraf infrastruktur termasuklah bagi kemudahan di luar bandar seperti sistem perparitan, saliran, titi, surau, tali air serta dewan orang ramai sebanyak RM6.4 juta mesti dilaksanakan dengan serius.

Malah katanya, terdapat surau dan dewan orang ramai yang daif tetapi tidak mendapat perhatian yang serius sehinggakan ada yang berada dalam keadaan uzur dan rosak.

“Sejak AMANAH turun padang kita dapat menemui banyak jalan-jalan kampung yang rosak seperti di Long Boh, Tambun Tulang.

“Ada antara jalan kampung yang tidak diturap dengan tar, pecah dan rosak teruk serta merbahaya kepada penduduk kampung.

“Banyak aduan yang diterima dari penduduk yang mendakwa telah beberapa kali aduan dibuat kepada JKKK, namun begitu tiada apa-apa tindakan sehingga kini,” tegasnya.

Bajet yang dibentangkan oleh Menteri Besar Perlis dalam sidang Dun minggu lalu turut memperuntukkan RM164.52 juta perbelanjaan mengurus dan RM92.81 untuk perbelanjaan pembangunan.

Manakala anggaran hasil bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM103.04 juta dan anggaran perbelanjaan mengurus (tanggungan dan bekalan) pula berjumlah RM175.02 juta.

Defisit kerajaan negeri turut dianggarkan sebanyak RM71.99 juta yang menunjukkan penurunan sebanyak RM8.48 juta berbanding defisit pada 2017 sebanyak RM80.47 juta.