Malaysia Dateline

Baju Melayu, seluar hitam: Salahuddin terima surat dari Istana Johor

Sumber hari ini mengesahkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menerima surat rasmi dari Istana Johor yang dikeluarkan oleh Jemaah Majlis Diraja Johor, pada 20 Jun lalu.

Menurut surat yang dikeluarkan 9 Jun itu, Jemaah Majlis Diraja Johor mengingatkan Salahuddin sebagai anak Johor untuk mengambil perhatian terhadap peraturan pakaian Johor yang ditetapkan, seterusnya memelihara dan memartabatkan budaya Johor.

Surat itu juga turut melampirkan bersama Sesalinan Percanangan berkenaan peraturan pakaian Johor yang dilihat ditandatangani oleh Yang Dipertua majlis, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Sumber yang rapat dengan Ahli Parlimen Pulai yang juga Timbalan Presiden AMANAH itu mengesahkan menerima surat itu pada 20 Jun.

Namun katanya, surat tersebut masih belum dibalas berikutan menteri berkenaan berada di luar negara.

“(Surat tersebut) belum (di balas) sebab dapat surat itu ketika Yb berlepas ke luar negara,” maklumnya.

Bulan ini, Istana Johor telah mengeluarkan surat kepada menteri berkenaan yang mengingatkannya tentang kod pakaian diraja, selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuatnaik gambar menteri itu pada 5 Jun lalu.

Gambar tersebut memperlihatkan Salahuddin mengenakan baju Melayu cekak Musang dan berseluar hitam ketika menunaikan Solat Hari Raya di Masjid Negara, bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Pada hari yang sama juga, TMJ turut memuatnaik gambarnya di Instagram bersama ahli keluarga dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memakai baju Melayu Teluk Belanga, bersampin dan berseluar hitam.

Titahnya dalam hantaran itu, ia adalah pakaian tradisi kerabat Diraja Johor dan hal ini menyebabkan tiada orang lain di dalam kerajaan Johor yang akan memakai seluar hitam.

“Ini adalah pakaian tradisi keluarga di raja Johor. Identiti ini melambangkan keluarga Sultan Ibrahim dan kerabat damping. Keluarga yang memerintah. Darah keturunan sultan.

“Itu fasal kita boleh lihat tiada orang dalam kerajaan pakai seluar hitam. Kerana hanya keluarga di raja dan atau kerabat damping yang boleh pakai atau layak pakai seluar hitam,” titahnya.