Bakal calon digesa isi, semak borang sebelum hari penamaan, kata Pengerusi SPR

Bakal calon digesa isi, semak borang sebelum hari penamaan, kata Pengerusi SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua bakal calon yang berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P.078 Cameron Highlands supaya mengisi dan membuat semakan awal borang pencalonan.

Ia boleh dilakukan di Pejabat Pegawai Pengurus, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum Hari Penamaan Calon.

Azhar Azizan Harun

Pengerusi SPR  Azhar Azizan Harun berkata, tujuan semakan awal ini adalah untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang tersebut dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kesilapan sebelum hari penamaan calon.

“Ini dapat menjamin proses penamaan calon pada hari penamaan calon berjalan dengan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
“Ianya juga akan dapat memberi peluang kepada parti-parti politik yang calonnya didapati tidak layak semasa semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya pada hari pencalonan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Walaubagaimanapun, katanya lagi, semakan awal ini bukanlah merupakan keputusan muktamad bagi penerimaan atau penolakan sesuatu pencalonan.

“SPR mengingatkan bahawa Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang itu hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR pada Sabtu, 12 Januari 2019.

“Selain daripada itu, bakal-bakal calon perlu melunaskan pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.
“Bakal-bakal calon juga diminta untuk mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan untuk memudahkan memasuki Dewan Penamaan Calon.

“Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada Hari Penamaan Calon kelak,” ujarnya.

Loading...