Bakal isteri terlanjur dengan lelaki lain, pemuda menderita dipaksa jadi pak sanggup

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda seakan-akan hilang pertimbangan apabila dipaksa berkahwin dengan bakal isteri yang sudah terlanjur dengan lelaki lain.

Lebih menyakitkan, pemuda berkenaan malangnya turut menjadi mangsa fitnah bakal isterinya itu berikutan wanita tersebut telah disahkan hamil anak luar nikah.

Pemuda tersebut juga tiada tempat mengadu kerana bapa kandungnya sendiri memaksanya menikahi wanita kejam itu dengan alasan mahu menutup aib keluarga.

Tular di media sosial, masalah itu dikongsi oleh pemuda tersebut menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman media sosial X (Twitter), @twtmalaywedding.

Menurut hantaran tersebut, kejadian itu bermula apabila wanita berkenaan datang ke rumah dan mengadakan pertemuan dengan ayahnya (bapa pengadu).

“Pada 4 Jun saya terpaksa berkahwin secara terpaksa disebabkan bakal isteri hamil. Dia pernah jadi kekasih saya sebelum bertunang dengan lelaki lain dan terlanjur.

“Tunang dia tidak mahu bertanggungjawab. Jadi bakal isteri ambil kesempatan dan jadikan saya pak sanggup. Dia jumpa ayah saya dan cakap kami pernah terlanjur.

“Padahal sepanjang kami bersama saya tak pernah sentuh dia. Ayah marah dan minta saya kahwin dengan bekas kekasih demi menjaga nama dan air muka keluarga,” adunya.

Angkara fitnah wanita terbabit, berlaku salah faham antara pengadu dan bapanya yang lebih mementingkan nama dan air muka berbanding kejujuran dirinya.

Sudah berusaha mempertahankan dirinya dengan memberitahu perkara sebenar, pemuda itu kecewa apabila sang bapa tidak memikirkan kebahagiaan anak sendiri.

Apa yang lebih menyedihkan, pemuda itu sebenarnya sudah ada kekasih baharu selepas menamatkan hubungan percintaannya dengan wanita tersebut sebelum ini.

“Saya rasa berat hati nak kahwin. Saya terlampau sayangkan teman wanita yang sekarang. Terlalu banyak dugaan Allah beri. Kali ini saya tak mampu menepis takdir. Apa saya patut buat.” Soalnya.

Merupakan kisah sebenar, pemuda berkenaan kemudian terpaksa berkorban dan menikahi bakal isterinya itu selepas didesak oleh bapa yang disayanginya.

Walaupun pernikahan tetap diteruskan pada Jun lalu, pemuda itu mendedahkan bahawa dirinya kini berada di dalam proses penceraian dengan isterinya itu.

Baca juga: Sukar nak kupas kulit telur? Chef ini kongsikan tips, dalam masa 2 jam boleh ‘settle’ 1,500 biji telur