Malaysia Dateline

Bakal jemaah gembira peluang lebih awal tunai haji

Seramai 24 bakal jemaah haji menerima sumbangan dari Masjid Jamek Alam Shah yang berupa senaskah Al-Quran dan sejumlah duit bernilai RM150 sebagai bantuan persiapan akhir sebelum berlepas ke tanah suci.

Pustaman Yaakob

Pengerusi Kursus Asas Haji peringkat Masjid Jamek Alam Shah, Pustaman Yaacob, memaklumkan, masjid itu telah menerima hampir 400 ahli yang mendaftar kursus asas haji di masjid tersebut sepanjang tahun 2018.

Beliau berkata, daripada  400 itu, hanya 33 orang jemaah sahaja yang terpilih tahun ini untuk menunaikan haji.

“Dalam Wilayah (Kuala Lumpur)  ada 11 masjid sahaja yang dibenarkan mengendalikan kursus asas haji dibawah Tabung Haji Wilayah Persekutuan.

“Bagi Masjid Jamek Alam Shah, kami menerima sekitar 400 pendaftaran kursus haji dan hanya 33 orang sahaja yang terpilih menunaikan haji lebih awal,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysia Dateline selepas Majlis Penyampaian Bantuan Jemaah Haji, di Masjid Jamek Alam Shah, pada Rabu.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Bakal jemaah haji, Mohd Shokri Mohamad, 54 tahun, meluahkan rasa syukur apabila penantian lebih 11 tahun akhirnya memberikan khabar gembira apabila di senaraikan sebagai salah seorang jemaah dari 400 peserta yang menghadiri kursus asas jemaah haji di Masjid itu.

Beliau berkata, sumbangan bernilai RM150 yang diberikan oleh pihak masjid akan digunakan untuk membeli kain Ihram sebagai persediaan sebelum berlepas ke tanah suci.

“Alhamdulillah, ini kali pertama saya akan jejakkan kaki ke Mekah. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana tersenarai sebagai salah seorang jemaah yang akan berlepas pada awal bulan Ogos tahun ini.

(kiri) Mohd Shokri Mohamad  dan (kanan)  Siti Nor Hassan

“Kelengkapan semua dah sedia, cuma duit ini nanti saya mahu beli kain Ihram yang baharu kerana kain yang saya beli itu tebal, hanya sesuai untuk musim sejuk. Memandangkan disana sekarang tengah panas, jadi saya perlu beli yang nipis sedikit.

“Saya dan isteri juga dah ambil tiga suntikan dari doktor sebagai perlindungan badan dari jangkitan yang tak diingini. Saya harap pergi dan balik nanti dalam keadaan sihat, tak mahu sakit,” katanya.

Sementara itu, Siti Nor Hassan, 51, meluahkan rasa sebak dapat menunaikan haji setelah 11 tahun menunggu dan membuat rayuan kepada pihak Tabung Haji untuk mempercepatkan proses menunaikan haji.

“Saya akan berlepas pada hujung Julai ini dan segala kelengkapan dan persediaan dah cukup. Sumbangan dari masjid ini, saya akan gunakan di Mekah nanti, ibarat kita panjangkan sedekah untuk yang memberi.

“Saya sangat gembira, tak tahu nak luah macam mana. Kalau ikutkan, sepatutnya saya akan ke Mekah pada tahun 2021. Tapi atas pesan rakan-rakan, saya membuat permohonan cepatkan proses untuk menunaikan haji tahun ini,”ujarnya.