Malaysia Dateline

Bakal Menteri Ekonomi Brazil disiasat atas pertuduhan penipuan berkaitan dana pencen

Polis Brazil telah memulakan siasatan ke atas bakal Menteri Ekonomi, Paulo Guedes, atas pertuduhan melakukan penipuan berkaitan dana pencen awam.

Dana itu, yang sepadan dengan Petroleo Brasileiro SA (dengan pembabitan kerajaan), Bank Brazil, Caixa Econômica Federal (atau CEF, bank keempat terbesar Brazil), dan perkhidmatan pos awam, telah melabur ke dalam sebuah syarikat di mana Guedes adalah pemegang saham utama, demikian menurut pertuduhan yang dikemukakan oleh Pejabat Pendakwa Raya Awam Brazil serta laporan oleh National Superintendency of Summplemental Pensions.

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, yang memenangi pilihan raya negara itu baru-baru ini dengan mengambil pendirian tegas antirasuah, bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan terhadap Guedes.

Bolsonaro akan mengambil alih jawatan pada 1 Jan 2019.

Peguam Guedes telah menafikan pertuduhan itu dan berkata semua operasi membabitkan dana tersebut adalah mematuhi undang-undang.

“Kami mengesahkan ketepatan semua operasi dalam dana itu, yang juga perlu kami nyatakan telah memberi keuntungan kepada semua pelaburnya, termasuk dana pencen,” menurut peguam itu dalam satu kenyataan.

Bakal menteri itu terkenal dengan gelaran Chicago Boys (graduan universiti Chicago) dan memiliki hubungan dengan sekumpulan ahli ekonomi yang merumuskan pembaharuan ekonomi ultra-liberal, yang diterapkan oleh diktator Chile, Augusto Pinochet.

Chicago Boys mendapat pujian kerana berjaya menyelamatkan ekonomi Chile selepas satu kudeta tentera berdarah terhadap pemerintahan Presiden Salvador Allende.

Guedes, yang merupakan bekas pegawai bank, berhasrat melaksanakan program neoliberal di Brazil.

— BERNAMA