Seorang bakal pengantin tidak dapat menahan kekecewaannya selepas wang simpanan selama lapan tahun yang berjumlah RM30,000 lesap angkara perbuatan scammer.
Menerusi tangkap layar luahan yang dikongsikan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya, individu itu mendakwa tidak sedar bila wang di akaun bank miliknya mula menyusut.
Dia hanya menyedari selepas mengesan banyak transaksi pengeluaran wang menerusi ‘online banking’.
Namun apa yang mengejutkan apabila kesemua simpanannya lesap sehingga berbaki RM6.
“Saya sedih sangat tak lama lagi saya nak kawin dah tapi online banking saya kena scam. Banyak transaksi dilakukan oleh scammer tanpa pengetahuan saya.
“Bila semak, duit tinggal RM6.25 sahaja. Habis kesemua duit simpanan saya dalam RM30,000. Saya dah buat report polis dan sebagainya, tunggu bank dan polis telefon untuk tahu tindakan seterusnya,” katanya.

Individu itu juga memberitahu dia buntu memikirkan wang yang disimpan selama 8 tahun hasil berhempas pulas bekerja, hilang begitu sahaja.
“Saya tak kuat, 8 tahun saya menyimpan kerja Sabtu dan Ahad jaga kedai baju. Tapi lesap macam tu ja. Ya Allah betul berat ujian ni sekarang. Saya betul-betul tak ada duit dah, saya nak kahwin dah apa perlu saya buat?
“Saya tak minta banyak kalau ada yang mulia hati nak sedekah RM1 untuk bantu saya, saya hargai sangat untuk lepas belanja dan sebagainya,” luahnya.
Perkongsian tersebut walaupun amat menyentuh hati, namun lain pula respon netizen berkenaan situasi itu.
Mereka meluahkan rasa musykil dengan luahan individu tersebut kerana beranggapan ada kemungkinan cerita itu direka-reka oleh seorang scammer
“Bila dia tulis minta derma seringgit tu aku dah tak percaya. Ni mesti scammer cerita sedih. Kalau di kehidupan realiti pula, scammer jumpa kita kat tengah jalan minta RM10 konon tak ada duit nak balik kampung,” komen netizen.
“Ada sebarang bukti bahawa cerita ini cerita benar? Kami perlu tengok report polis berkenaan kalau tidak, ini adalah cerita rekaan,” kata yang lain.
Baca juga: Warga emas Turkiye rela derma simpanan untuk umrah buat mangsa gempa bumi