Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang

Bakal PM: Abdul Hadi ‘hiburkan’ Najib

Dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa menamakan calon Perdana Menteri sebagai bercanggah dengan adab Islam adalah kenyataan songsang dan mundur ke belakang, tegas Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Menurutnya, menamakan bakal Perdana Menteri adalah perkara biasa dalam realiti politik dan pentadbiran negara ini malah dalam situasi tertentu diperlukan untuk memudahkan pengundi memilih parti mana untuk menerajui kerajaan.

“Kenyataan (Hadi) itu bertujuan menghiburkan Najib serta memberi nafas kepada Umno dalam suasana bahang PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) semakin membara kini.

“Najib tentu senang hati sekali dengan kenyataan Abdul Hadi itu, seolah-olah hanya dia yang layak kekal sebagai Perdana Menteri dan menepati adab Islam kerana menamakan orang lain sebagai penggantinya bercanggah dengan adab Islam,” dipetik daripada Facebook beliau.

Ustaz Zolkharnain Abidin 1
Zolkarnain Abidin

Jelasnya, jika Pas tidak mahu menamakan bakal Perdana Menteri daripada Pas atau Ikatan, atau Abdul Hadi sedar dia tidak dinamakan oleh pihak lain sebagai Perdana Menteri atas kapasitinya sebagai presiden parti, itu bukan ukuran untuk menghukum tindakan pihak lain bercanggah dengan adab Islam.

Abdul Hadi pada 22 Disember lalu dilapor berkata, partinya tidak mendahulukan pembentukan Kabinet atau melantik siapa bakal Perdana Menteri yang baginya bakal menjadi bangkai sahaja.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Rasulullah tidak berjuang kerana mengejar jawatan tetapi menegakkan Islam dengan mendahulukan pembangunan insan yang beriman, berilmu dan berakhlak, bukannya sekadar ekonomi atau melahirkan tokoh tanpa iman, ilmu dan akhlak.

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain berpendapat tindakan menamakan bakal Perdana Menteri bukan khianat atau manipulasi sebaliknya bukti komitmen pihak yang menamakannya untuk berkhidmat sedaya mungkin kepada rakyat.

“Jika dikata bercanggah dengan adab Islam, yang mana satu adab Islam yang dicanggahi? Dalam sejarah Islam sendiri, Abu Bakar menamakan Umar sebagai penggantinya.

“Bahkan menurut ulama seerah, Nabi sendiri secara tidak langsung seolah-olah menamakan Abu Bakar sebagai pengganti baginda apabila Abu Bakar diminta mengimami orang ramai ketika baginda gering.

“Dalam sistem beraja juga amalan ini berlangsung. Pelantikan raja muda atau pemangku raja adalah penamaan bakal raja. Kenyataan bahawa amalan itu bercanggah dengan adab Islam tidak menepati realiti semasa bahkan realiti seerah dan sejarah,” jelasnya.

Timbalan Pengerusi AMANAH Perlis itu berkata, tiada sebab menamakan bakal Perdana Menteri untuk Malaysia bercanggah dengan adab Islam memandangkan tindakan meminta jawatan dalam situasi khusus dibenarkan oleh agama.

“Menurut Dr Rozaimi Ramle seorang pensyarah, hadith Bani Amir yang dijadikan hujah oleh Abdul Hadi dalam isu ini tidak merujuk pada menamakan bakal pemimpin utama atau Perdana Menteri.

“Hadith itu berkaitan soal meminta jawatan. Bahkan, status kesahihan hadith itu juga dalam perhatian para pengkaji hadith,” katanya.

Sehubungan itu, Ustaz Zolkharnain menegaskan status Pas sebagai parti berlabel Islam tidak bermakna hanya apa yang dilakukan menepati Islam.

“Dunia politik kini bukan seperti pada zaman Abdul Hadi ditakbiri kerana kelantangan ceramahnya pada era Amanat Banggol Pradong.

“Orang ramai kini tidak mudah terpesona apatah lagi terkesima dengan sebarang kenyataan bernada rasa diri suci atau anggap orang lain semuanya kotor,” bidasnya lagi.