Masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia berkaitan kes remaja membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah walaupun sudah tujuh tahun berlalu.
Kes tersebut mendapat perhatian ramai apabila 23 penghuni yang terperangkap meninggal dunia dalam kebakaran tersebut.
Hari ini Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan atas kesalahan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran.
Menurut Harian Metro, keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat
Keputusan itu dibuat selepas menolak rayuan perayu selaku penama pertama.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Tahun lalu, pemuda tersebut merayu keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengekalkan perintah supaya dia kekal ditahan di penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Pada 11 September 2023, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa penama pertama bukan sahaja bertanggungjawab memulakan kebakaran, malah mengetahui perbuatannya boleh menyebabkan bencana tubuh kepada 23 mangsa dalam kejadian menyayat hati itu.
Panel itu turut berpendapat, keterangan pihak pendakwaan sebegitu kuat bahawa penama pertama adalah pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran.
Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan keempat-empat elemen bagi mensabitkan pemuda itu terhadap kesemua pertuduhan.
Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun.
Namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.