Bakat tempatan mudah sesuaikan diri

Bakat tempatan mudah sesuaikan diri
(dari kiri) Michael Yuan dan Ong Kian Ming.

Malaysia mempunyai kumpulan bakat yang mudah lentur serta mampu menyesuaian diri untuk dilatih dengan persekitaran operasi dan keadaan yang berbeza, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming.

Menurut beliau, kepercayaan yang dicerminkan oleh gergasi elektronik serta telekomunikasi China iaitu Huawei untuk melatih dan membangunkan modal insan di Malaysia bagi operasi tempatan dan global, menjadi bukti bahawa kumpulan itu yakin dengan bakat-bakat di Malaysia.

“Saya yakin dengan bertambahnya, syarikat China yang mahu mengembangkan operasi mereka ke dalam ASEAN termasuk kawasan-kawasan lain di dunia, mereka akan mempunyai pendapat yang sama dengan Huawei bahawa Malaysia merupakan lokasi terbaik untuk merekrut, melatih dan menempatkan bakat bukan sahaja di negara ini tetapi bagi bahagian-bahagian lain di dunia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Global Huawei Malaysia (MGTC) pada Isnin.

MGTC, yang merupakan pusat latihan pertama Huawei di luar China, adalah contoh pelaburan serta hubungannya yang intim dengan Malaysia, di mana ia mempunyai lebih daripada 2,500 kakitangan, dua pertiga daripadanya adalah warganegara Malaysia.

Kumpulan itu juga turut bekerjasama dengan 300 rakan kongsi tempatan merentasi seluruh ekosistem teknologi maklumat dan komunikasi dan ia telah menunjukkan komitmen dalam bekerjasama dengan institusi pendidikan tempatan untuk melatih remaja Malaysia dalam pelbagai bidang seperti 5G dan pengkomputeran awan.

Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan berkata MGTC boleh melatih secara purata seramai 2,000 orang setahun dan sehingga kini, lebih daripada 10,000 orang telah dilatih sejak pusat tersebut dinaik taraf menjadi sebuah pusat latihan global pada 2012.

Seramai 60 peratus daripada mereka yang dilatih terdiri daripada rakyat Malaysia dengan bakinya, datang dari Thailand, Mesir dan Filipina.

“Kira-kira 90 peratus daripada kakitangan MGTC adalah warganegara Malaysia dan bakinya adalah dari China,” katanya.

Yuan ketika bercakap mengenai pendirian Kerajaan Malaysia dalam pembinaan infrastruktur 5G di tengah-tengah kebimbangan negara-negara Barat kononnya akan berlaku pengintipan siber, berkata syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia telah pun menandatangani perjanjian dengan kumpulan itu bagi memperkenalkan teknologi 5G di Malaysia dan itu adalah tanda keyakinan.

Ong pula memberitahu Kementerian Komunikasi dan Multimedia sentiasa memberi perhatian ke atas isu-isu keselamatan yang ditimbulkan tetapi dari segi pelaburan dan daripada perspektif MITI, pelaburan Huawei terus menyediakan pekerjaan yang berkualiti dan manfaat kepada Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Menteri itu berkata sektor pembuatan boleh banyak mendapat manfaat daripada peralihan kepada 5G memandangkan kerajaan sedang melancarkan inisiatif Industri 4.0 (IR 4.0).

Kelajuan rangkaian 5G yang pantas akan membolehkan lebih banyak syarikat untuk menggunakan teknologi-teknologi IR 4.0 seperti Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan analisis data besar.

Ong ketika menyentuh mengenai keputusan kerajaan untuk meneruskan Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) berkata, ia adalah satu berita baik dan beliau percaya perjanjian baharu ini bukan sahaja akan membantu kerajaan menjimatkan kos tetapi juga boleh memastikan komitmen pelaburan yang lebih baik dari China.

“Saya percaya keputusan itu juga boleh menggalakkan lebih banyak syarikat China untuk datang dengan pelaburan yang lebih besar,” katanya.- BERNAMA