Malaysia Dateline

Baki 30 peratus janji manifesto PRU14 di Pulau Pinang akan dikotakan

AMANAH Pulau Pinang menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri Pulau Pinang kerana telah berjaya merealisasikan 70 peratus janji manifesto pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu, manakala bakinya sedang dilaksanakan.

Demikian dinyatakan oleh Naib Pengerusi 1 AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria di Georgetown.

Jelasnya, lebih membanggakan apabila pembangunan hal ehwal Agama Islam telah pun ditingkatkan sehingga diperuntukkan sejumlah RM60.05 juta yang turut merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM32.46 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah serta Jabatan Pendakwaan Syariah yang baru ditubuhkan.

“AMANAH Pulau Pinang memberi sokongan sepenuhnya kepada perancangan kerajaan negeri untuk terus melaksanakan sebahagian lagi dari manifesto Buku Harapan.

“Kami juga yakin, janji-janji manifesto tersebut mampu ditunaikan menjelangnya PRU ke 15 yang akan datang tidak lama lagi.

“Buku Harapan yang berteraskan lima prinsip utama kekal relevan dan signifikan ke arah membina semula negara melalui perpaduan, keadilan, kebebasan, kemakmuran, kecemerlangan dan integriti rakyat, ” ujar beliau.

Dr Zaidi yang juga merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang turut berkata, adalah diyakini Buku Harapan bukan sahaja memenuhi janji-janji manifesto, malah optimis kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus berusaha mencapai kemakmuran untuk rakyat melangkaui manifestonya.

Sehubungan itu tegasnya, AMANAH Pulau Pinang mengalu-alukan tindakan kerajaan Pulau Pinang melancarkan ‘Wawasan Penang 2030’ yang menumpukan penglibatan rakyat bersama-sama membuat keputusan dan polisi kerajaan untuk mencapai mutu kehidupan rakyat yang tinggi, berkemampuan, selamat dan harmoni.

“Walau bagaimana pun, AMANAH Pulau Pinang ingin mengingatkan, antara cabaran terbesar kerajaan Pulau Pinang khususnya dan kerajaan Pusat amnya kini adalah menangani berita palsu dan ucapan kebencian serta isu perkauman dan agama.

“Perkara ini bukan sahaja boleh melemahkan PH, bahkan ia mampu menggagalkan usaha untuk membina negara yang inklusif, berintegriti, moderat dan gemilang di persada dunia.

“Kerajaan harus mengambil tindakan tegas, cepat dan pantas terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu serta ucapan kebencian yang berniat memburuk-burukkan kerajaan dan negara,” tambah beliau.

Sejajar dengan itu katanya, Majlis Pimpinan PH Negeri dan peringkat Parlimen digesa supaya bergerak lebih proaktif dan tuntas terutamanya bagi menyelesaikan isu-isu politik semasa kepada rakyat dan menyampaikan program-program kerajaan memenuhi janji-janji matlamat Buku Harapan.

Malah kata beliau, AMANAH Pulau Pinang bersedia untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, berat sama dipikul dan ringan sama-sama dijinjing dengan rakan komponen PH sebagai pemain utama untuk merealisasikan matlamat kerajaan negeri dan Malaysia Baharu yang gemilang.