Malaysia Dateline

Baki dos SelVAX Komuniti, Industri diguna untuk suntikan dos ketiga

Sebanyak 224,880 dos vaksin telah disuntik kepada penduduk di Selangor di bawah program Selangor Vaksin (SelVAX) Komuniti setakat 22 Ogos lalu.

Justeru, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jumlah dos yang masih berbaki sebanyak 275,120 dos.

Bagi Program SELVAX Industri pula, bilangan dos vaksin yang telah disuntik sehingga 22 Ogos adalah sebanyak 142,719 dos daripada 750,000 dos yang diperuntukkan berdasarkan stok yang telah dibeli.

Sehubungan itu, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang berkenaan, baki dos pada masa ini berjumlah 607,281 dos.

Dr Siti Mariah berkata, beliau menjangkakan untuk menggunakan baki dos vaksin bagi kedua-dua SelVAX Komuniti dan SelVAX industri untuk persiapan suntikan ketiga.

“SelVAX juga dalam persiapan untuk suntikan ketiga (booster shot) sekiranya perlu, dan bagi penerima vaksin bagi golongan berumur 18 tahun ke bawah tertakluk kepada kelulusan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid (JKJAV).

“Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberian vaksin secara percuma kepada golongan yang belum menerima vaksin termasuk melalui pemberian vaksin secara bergerak,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Siew Ki (DAP-Balakong) yang bertanya tentang jumlah baki vaksin dari program SelVAX Komuniti dan SelVAX industri, serta rancangan seterusnya untuk baki vaksin yang ada.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah juga memaklumkan bahawa SELGATE Healthcare Sdn Bhd (SELGATE) akan meneruskan penjualan vaksin melalui klinik panel di seluruh negara untuk melaksanakan pemberian dos vaksin.