Malaysia Dateline

Bakti Pak Ungku buat 9 juta pencarum Tabung Haji

Semoga Allah merahmati dan meletakkan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid di sisi orang yang soleh dalam Syurga NaimNya.

Setiap umat Islam yang telah melakukan ibadat haji dan bakal melakukan rukun Islam ke lima itu akan mengenang jasa Allahyarham.

Sejak 1950-an lagi idea dana menguruskan bakal haji dengan lebih sistematik telah dibuat kajian oleh pakar ekonomi Prof Ungku Aziz.

Allahyarham merencanakan satu pemikiran memudahkan masyarakat luar bandar khususnya supaya kos perjalanan haji ditabung lebih awal sambil mendapat pulangan sebelum mereka mampu melakukan haji.

Mereka juga akan punya lebihan dalam simpanan apabila kembali dari menunaikan ibadat haji.

Kertas cadangan yang lengkap telah dipersembahkan kepada Syeikh Muhammad Shaltout Rektor Al Azhar dalam tahun 1962 ketika Syeikh Azhar tersebut melawat Malaysia.

Persetujuan kertas cadangan tersebut dari universiti berprestij dunia Islam itu memangkinkan konsep Profesor Ungku Aziz diterjemahkan dengan penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji pada tahun 1969 dikenali ringkasnya sebagai LUTH.

Akta Tabung Haji (semakan 1973) telah dikanunkan pada tahun 1995 sesuai dengan perkembangan LUTH yang mendapat sambutan dan perlu diperkembangkan.

Kini dikenali sebagai Tabung Haji (TH), khidmat baktinya kepada hampir 9 juta lebih pencarum dan nilai tabungan hampir lebih RM70 bilion menjadi contoh kejayaan cetusan idea Allahyarhan Prof Ungku Aziz.

Jasa beliau akan dikenang selamanya dan sebagai mantan Menteri yang diamanahkan menguruskan TH saya cuba sedaya upaya untuk mempertahankan teras utama idea diasaskan adalah untuk menjaga kepentingan para jamaah dan khidmat demi keselesaan mereka.

Al Fatihah dan takziah untuk keluarga Allahyarham dari keluarga besar TH dan umat Islam keseluruhannya.

 

*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden AMANAH.